Monday, November 25, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baidu lancar model AI Ernie 4.0

    HONG KONG, 17 OKT – Enjin carian China dan firma kecerdasan buatan, Baidu hari ini melancarkan versi baharu model kecerdasan buatannya (AI), Ernie 4.0, dengan mendakwa ia menyaingi model seperti GPT-4 di Amerika Syarikat (AS).

    Ketua Pegawai Eksekutif Baidu, Robin Li memperkenalkan Ernie 4.0 pada persidangan tahunan syarikat Baidu World di Beijing. Beliau berkata model itu telah mencapai kefahaman, penaakulan, ingatan dan penjanaan yang menggunakan algoritma untuk menghasilkan dan mencipta kandungan baharu.

    Li berkata Ernie 4.0 mampu memahami soalan dan arahan yang kompleks serta menggunakan penaakulan dan logik untuk memberikan jawapan kepada soalan.

    “Ia sama unggul dengan mana-mana aspek GPT-4,” kata Li, menambah bahawa model terbaharu itu ‘berbeza ketara’ berbanding model Ernie Bot asalnya.

    Dalam demonstrasi langsung, Li mengisyaratkan Ernie 4.0 untuk menjana bahan pengiklanan termasuk poster pengiklanan dan video pemasaran.

    Dia turut meminta Ernie 4.0 menghasilkan sebuah novel seni mempertahankan diri lengkap dengan watak pelbagai personaliti.

    Baidu adalah peneraju dalam kalangan syarikat China yang berlumba-lumba menghasilkan model kecerdasan buatan, selepas ChatGPT OpenAI memukau dunia tahun lepas.

    Beijing melihat kecerdasan buatan sebagai industri utama untuk menyaingi Amerika Syarikat dan menyasarkan untuk menjadi peneraju global menjelang 2030. – AP

    Gambar fail menunjukkan seorang peserta berjalan di depan pameran persidangan Baidu World di Beijing. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda