SHANGHAI, 14 MEI – Syarikat teknologi besar China, Baidu, telah merancang untuk memulakan ujian teksi pandu sendiri di Eropah buat pertama kalinya menjelang akhir tahun ini, menurut satu sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara itu kepada AFP hari ini.
Syarikat teknologi dan pengeluar automotif China telah melaburkan berbilion dolar dalam teknologi pandu sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikan pemanduan pintar sebagai medan persaingan baharu dalam pasaran automotif domestik yang sangat kompetitif.
Teksi tanpa pemandu sudah pun beroperasi dalam kapasiti terhad di China, terutamanya di bandar Wuhan di tengah negara itu, di mana lebih 500 buah kenderaan boleh ditempah melalui aplikasi dalam kawasan yang ditetapkan.
Akhbar The Wall Street Journal turut melaporkan kelmarin Baidu sedang berbincang untuk melancarkan perkhidmatan robotaksi Apollo Go bersama PostAuto Switzerland, iaitu cabang Swiss Post yang bertanggungjawab terhadap perkhidmatan bas awam.
Satu sumber mengesahkan kepada AFP bahawa Baidu akan menubuhkan entiti tempatan di Switzerland untuk memulakan ujian di sana sebelum akhir 2025.

Syarikat itu juga akan memulakan ujian Apollo Go di Turkiye, menurut sumber sama.
Pada bulan Mac lalu, Baidu mengumumkan mereka telah menandatangani perjanjian untuk melancarkan ujian dan perkhidmatan pemanduan autonomi di Dubai, yang merupakan pelancaran armada antarabangsa pertama bagi Apollo Go.
Menurut kenyataan syarikat tersebut, sebanyak 100 kenderaan pandu sendiri dijangka berada di jalan raya di sana menjelang akhir tahun ini.
Baidu bukan satu-satunya syarikat China yang berusaha mengembangkan kehadiran mereka di luar negara.
Pesaingnya, WeRide, juga aktif di rantau Teluk dan pada Januari mengumumkan ia telah dipilih untuk mengetuai projek perintis berskala kecil di Switzerland.
Satu lagi syarikat China, Pony.AI, mengumumkan telah menerima permit untuk menguji roboteksi di Luxembourg. Minggu lalu, syarikat itu telah memeterai perjanjian untuk melancarkan teksi pandu sendiri di platform Uber dalam ‘pasaran utama di Timur Tengah menjelang akhir tahun ini’. – AFP