Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Bank Baiduri menerusi Inisiatif Kesejahteraan Kakitangan (EWI), telah menghoskan edisi kedua, Buat and Bagi yang dianjurkan dengan kerjasama Sekolah Kulinari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, insiatif itu bermatlamat untuk menyediakan hidangan berkhasiat kepada golongan yang memerlukan semasa bulan Ramadan yang mulia ini.
Sepanjang tempoh tiga hari, kakitangan Bank Baduri dan pelajar-pelajar kulinari LCB bekerjasama untuk menyediakan serta mengagihkan 500 hidangan berkhasiat kepada pelbagai penerima, menonjolkan nilai-nilai teras kumpulan bank berkenaan iaitu boleh dipercayai, keterangkuman, empati dan semangat keusahawanan.
Inisiatif yang dibiayai sepenuhnya menerusi sumbangan kakitangan individu itu menunjukkan rasa tanggungjawab sosial yang mendalam serta komitmen menyumbang impak positif dalam masyarakat.
Mengetuai inisiatif berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui disertai ahli-ahli jawatankuasa pengurusan bank serta 80 orang kakitangan Bank Baiduri untuk membungkus dan menghantar makanan tersebut kepada pesakit-pesakit dan kakitangan barisan hadapan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) termasuk mereka di Jabatan Kecemasan, Psikiatri dan Pediatrik.
Sumbangan itu telah diterima oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital RIPAS, Awang Muhammad Aziman bin Awang Nasir; Timbalan Penguasa Perubatan di Hospital RIPAS, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin; dan Ketua Jabatan Psikiatri, Pengiran Dr Hajah Fariza Suriyani binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Ti Eng Hui mengongsikan Buat and Bagi merupakan bukti kepada kuasa tindakan kolektif dalam menjana impak positif. Di sebalik menyediakan hidangan, tambahnya, inisiatif itu mencerminkan dedikasi mereka untuk melakukan sesuatu yang bermakna dalam kehidupan golongan yang disantuni di samping mengukuhkan hubungan mereka dengan masyarakat.