Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SER BEGAWAN, 25 JAN – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan pengetahuan para pelabur mengenai pasaran kewangan global, Baiduri Capital menganjurkan webinar pertamanya pada tahun baharu ini berjudul Inflation – Who are well placed for the new world economic order?, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Baiduri Capital, hari ini, webinar yang dianjurkan dengan kerjasama SGX Academy, penyedia terkemuka pendidikan pelabur dan latihan profesional di Singapura itu telah disampaikan oleh tenaga pengajar, SGX Academy, Chua I-Min. Beliau mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam pelaburan dan kini giat mengendalikan kelas daripada topik merangkumi asas analisis kepada aspek yang lebih kompleks seperti Real Estate Investment Trusts (REITs) dan pelaburan saham hartanah.
Pada webinar itu, beliau telah berkongsi beberapa pandangan tentang pelbagai sektor yang perlu diberi perhatian oleh pelabur dan petunjuk utama yang perlu dititikberatkan. Di samping itu, beliau juga menyediakan analisis berdasarkan statistik, laporan dan maklumat terkini daripada pasaran semasa. Webinar turut menyentuh bagaimana ekonomi besar telah membanjiri diri mereka dengan wang tunai untuk kekal bertahan sejak dua tahun lalu, membawa kepada tekanan inflasi di kebanyakan sektor seluruh dunia.
Dalam pada itu, Pengurus Besar, Baiduri Capital, Brian Wong, menyatakan webinar bertujuan untuk menyediakan golongan pelabur mereka dengan perkembangan pasaran terkini dan relevan, menggunakan saluran alternatif pada masa mencabar ini.
“Ini adalah webinar pertama kami pada tahun ini, dan memandangkan pelbagai isu-isu yang terjadi di seluruh dunia membabitkan inflasi, kadar meningkat, perubahan dasar yang dijangka serta berita pemulihan COVID-19, adalah penting untuk kami mengemas kini pelanggan kami dengan maklumat terkini.
“Topik itu sebenarnya dipilih berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelanggan dan pasukan jualan pelaburan kami. Soalan-soalan yang diajukan semasa sesi soal jawab berkenaan menekankan minat pelabur kami untuk mengembangkan pengetahuan mereka tentang trend pasaran serantau dan antarabangsa semasa, dan kebanyakan mereka berasa gembira dapat menyertai sesi perkongsian maklumat ini dari keselesaan kediaman masing-masing,” tambahnya. Selaras dengan langkah prosedur operasi standard Kementerian Kesihatan, Baiduri Capital turut memperkenalkan konsultasi telefon dan aplikasi e-mel untuk produk dan perkhidmatan mereka. Untuk maklumat lanjut tentang produk dan perkhidmatan Baiduri Capital, orang ramai boleh menghantar e-mel ke baiduricapitalservices@baiduri.com.
