Saturday, September 28, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri Capital lancar platform pelaburan baharu

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Baiduri Capital hari ini melancarkan Baiduri Invest, platform perniagaan dalam talian serba baharu dan terkini yang menawarkan pelanggan tempatan akses selamat dan mudah kepada pelbagai peluang pelaburan.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pelancaran di Ruang Komuniti Baiduri ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Perindustrian) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim.

    Turut hadir Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rokiah binti Haji Badar.

    Baiduri Invest menyediakan akses kepada tujuh bursa saham global utama, termasuk pasaran di Amerika Syarikat, Singapura, Hong Kong, China dan Malaysia. Platform itu memastikan perniagaan boleh dilaksanakan dengan lancar dari mana-mana tempat, sekali gus memberikan fleksibiliti dan kemudahan kepada pelabur.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui, dalam ucapannya berkata mereka berbesar hati untuk menawarkan kepada rakyat Brunei platform intuitif dan moden yang memudahkan pelaburan, menyediakan akses global serta menawarkan alat terkini untuk membantu pelabur pada semua peringkat menerusi Baiduri Invest ini.

    Awang Mohammad Harris (kanan) dan Ti Eng Hui semasa melancarkan Baiduri Invest pada majlis berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    “Kami percaya platform ini akan memperkasakan pelabur Brunei untuk naik satu atau dua tahap lebih tinggi dalam perjalanan pelaburan mereka dengan jaminan bahawa sokongan tempatan adalah mudah diakses,” ujarnya.

    Baiduri Invest dicipta untuk memenuhi bukan sahaja pelabur berpengalaman yang mencari alat analisis terkini tetapi juga kepada pemula yang ingin mengetahui tentang kelas aset pelaburan lain di luar unit amanah dan produk insurans.

    Pengguna boleh mengakses profil saham ekuiti, butiran tindakan korporat terkini dan penilaian konsensus penganalisis untuk membantu mereka membuat keputusan berdasarkan maklumat sebelum melabur.

    Pelabur awal akan menghargai data yang tersedia dan butiran nisbah kewangan untuk keperluan penyelidikan dan analisis asas mereka.

    Platform, dengan papan pemuka boleh disesuaikan juga menawarkan lebih 100 petunjuk carta yang dikuasakan oleh TradingView, dan mampu menyokong analisis teknikal untuk pengguna yang lebih maju.

    Selain itu, menguruskan dana untuk pelaburan di Baiduri Invest juga mudah dan cekap. Platform itu menawarkan penukaran mata wang asing masa nyata dan pengguna boleh membiayai dan mengeluarkan akaun perniagaan mereka tanpa kos. Keselamatan untuk platform pelaburan dalam talian menjadi keutamaan bank, dan Baiduri Invest memastikan perlindungan yang kukuh dengan pengesahan dua faktor (2FA).

    Di samping itu, pengguna mendapat manfaat daripada sokongan tempatan yang dipercayai melalui kumpulan perunding pelaburan Baiduri Capital, menawarkan bimbingan dan jaminan yang bersifat peribadi.

    Antara yang hadir pada acara pelancaran itu termasuk wakil dari BDCB, Agensi Pelaburan Brunei (BIA), Persatuan Pasaran Modal Brunei Darussalam, syarikat-syarikat insurans Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF), syarikat telekomunikasi dan fintech, universiti dan kolej tempatan.

    Pelancaran Baiduri Invest, dengan ciri-ciri utamanya untuk menyediakan akses kepada berita pasaran tepat pada masanya, harga, pandangan penganalisis, dan data analisis asas dan teknikal yang lain, akan menambah lagi rangkaian komprehensif tawaran produk pelaburan dan perkhidmatan Kumpulan Bank Baiduri untuk membantu pelanggan dalam perjalanan kewangan dan pelaburan mereka, sejajar dengan objektif negara untuk meningkatkan celik kewangan dan pelaburan di negara ini.

    Untuk meraikan pelancaran, Baiduri Capital telah memperkenalkan promosi eksklusif bermula dari 1 Oktober hingga hujung tahun 2024.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda