Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Bank Baiduri
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 APRIL – Dalam sama-sama membuat persiapan menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri, Baiduri Capital dan SMARTER Brunei bekerjasama dalam acara untuk menyediakan kuih-muih dan tart di Brunei Autism Centre for Adults (BACA), Sungai Hanching, kelmarin.
Dalam acara itu, sebagai sebahagian daripada program Latihan Berasaskan Kecekapan SMARTER Brunei, empat pelajar bersama beberapa orang guru dari pusat berkenaan telah meluangkan masa untuk membuat pelbagai jenis biskut perisa seperti cip coklat, oatmeal dan Milo, serta tart nanas.
Di samping itu, sukarelawan Baiduri Capital turut membantu dengan membungkus biskut dan tart untuk diedarkan kepada pelanggan dan rakan kongsi tempatan mereka.
Secara keseluruhan, 100 kotak biskut dan tart telah dibeli oleh Baiduri Capital untuk membantu mengumpul dana bagi operasi SMARTER Brunei.
Program Latihan Berasaskan Kompetensi SMARTER Brunei adalah kursus khas untuk membantu pelajar memperoleh kemahiran vokasional seperti kemahiran dalam elektronik, celik komputer dan baking.
Pengurus Besar Baiduri Capital, Brian Wong berkata, melalui inisiatif bersama dengan organisasi seperti SMARTER Brunei, pihak mereka berharap dapat mempromosikan kepentingan tanggungjawab sosial dan pembangunan masyarakat dan dalam masa yang sama mampu menyokong pembangunan kemahiran hidup penting untuk mereka yang berlainan kemampuan dalam masyarakat.
“Melalui aktiviti seperti ini, kami dapat terus menghargai kebolehan unik yang dimiliki oleh individu autisme, pada masa yang sama menyokong SMARTER Brunei untuk mengumpul dana yang mereka perlukan untuk kembali pulih daripada masa yang mencabar ini dan terus menyediakan perkhidmatan mereka untuk tahun yang akan datang,” tambahnya.
Aktiviti tersebut merupakan yang kedua yang dijalankan oleh Kumpulan Bank Baiduri dalam menyokong SMARTER Brunei tahun ini.