Friday, May 9, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri, DARe kerjasama perkasa PMKS

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Sebagai usaha berterusan untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Bank Baiduri dan Darussalam Enterprise (DARe) mengumumkan kerjasama bagi Siri Pemerkasaan PMKS ke-10.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, kerjasama itu dihasratkan untuk menyokong pertumbuhan PMKS selain menjadi batu asas inisiatif tanggungjawab sosial korporat bank berkenaan yang mencerminkan komitmen teguh untuk memperkasakan PMKS dalam perjalanan mereka menuju kejayaan.

    Bengkel yang diketuai oleh ahli strategi kandungan iaitu Pengarah dan Ketua Ahli Strategi, Cooler Insights, Walter Lim telah diadakan di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyatakan Bank Baiduri mengambil maklum akan peranan kritikal yang dimainkan oleh PMKS dalam landskap ekonomi dan kerjasama berterusannya dengan DARe membuktikan dedikasi mereka untuk melengkapkan perusahaan-perusahaan berkenaan dengan pengetahuan serta peralatan yang diperlukan untuk maju dalam zaman digital hari ini.

    Beliau menambah Siri Pemerkasaan PMKS ke-10 dengan tumpuannya kepada pendigitalan dan inovasi dalam pemasaran media sosial, merupakan satu lagi bukti komitmen bersama untuk memperkasakan perniagaan tempatan.

    Gambar ramai peserta yang hadir pada bengkel PMKS yang diadakan di iCentre, Taman Teknologi Anggerek Desa. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Walter Lim semasa mengendalikan bengkel berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Bengkel sehari itu menumpu kepada alam dinamik pendigitalan dan inovasi dalam pemasaran.

    Lebih daripada 30 peserta telah mengambil peluang untuk mendalami lagi bagaimana elemen-elemen berkenaan boleh merubah pendekatan mereka terhadap pemasaran media sosial yang akan memberikan hasil nyata kepada perniagaan mereka.

    Sepanjang bengkel itu, para peserta telah meneroka cara-cara memahami dan menghargai landskap rangkaian sosial yang sentiasa berubah. Mereka menerokai setiap platform media sosial yang berpotensi unik bagi pertumbuhan perniagaan, daripada platform besar seperti Facebook dan Instagram kepada platform sensasi seperti TikTok, LinkedIn, YouTube serta juga aplikasi pesanan segera WhatsApp dan Telegram.

    Para peserta juga menyelami psikologi sikap pengguna, pengurusan komuniti efektif dan analisis berpandukan data.

    Diperkasa dengan ilmu pengetahuan itu, para peserta lebih bersedia untuk mengoptimumkan kempen pemasaran dan strategi mereka serta mengukur impak yang tepat bagi menghasilkan kandungan media sosial yang menarik bagi klien sasaran mereka serta menyesuaikannya kepada pelbagai peringkat penglibatan pelanggan.

    Dengan pelancaran Hab Perusahaan Baiduri iaitu ruang kerja dan platform bagi pengusaha serta Maribali, sebuah pasaran elektronik di mana PMKS boleh memasarkan dan menjual produk serta perkhidmatan mereka secara dalam talian, baru-baru ini, Bank Baiduri terus menyediakan sokongan holistik kepada PMKS dengan matlamat untuk memupuk kejayaan keusahawanan di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda