Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri diiktiraf Bank Terbaik Brunei

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Bank Terbaik di Brunei oleh Euromoney, menandakan tahun ketiga berturut-turut bank menerima pengiktirafan berprestij tersebut.

    Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui telah menghadiri majlis penyampaian anugerah yang diadakan di The Westin, Singapura, baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada Anugerah Euromoney untuk Kecemerlangan 2024.

    Turut hadir pada acara itu ialah Ketua Perbankan Korporat dan Kewangan Perdagangan, Leonard Lee; Ketua Perbankan Institusi, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah dan Ketua Pemasaran dan Komunikasi Strategik Kumpulan, Ng Yick Wei.

    Menurut Euromoney, Bank Baiduri menonjol bukan sahaja disebabkan prestasi kewangannya yang kukuh tetapi juga komitmen berterusannya terhadap transformasi digital. Pengiktirafan itu mencerminkan tumpuan bank terhadap inovasi dan usahanya untuk menyediakan perkhidmatan perbankan yang dipertingkatkan.

    Kenyataan yang diterima daripada Bank Baiduri, hari ini, menyatakan bahawa Bank Baiduri pada 2023 merekodkan pertumbuhan ketara merentas perniagaan terasnya, dengan sumbangan besar daripada perbendaharaan, runcit dan perbankan korporat.

    (Dari kiri) Ng Yick Wei, Awangku Nor Muhammad Nizam, Ti Eng Hui, Leonard Lee dan Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat, Rafidah Ahmad. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Usaha berkenaan telah mengukuhkan kedudukan kewangan bank secara keseluruhan dan menambah baik pengalaman perbankan untuk pelanggannya.

    Selain itu, Bank Baiduri juga telah mengekalkan penarafan A-/A-2 dengan prospek stabil daripada Penarafan Global S&P, justeru mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemain utama dalam sektor perbankan Brunei.

    Bank Baiduri terus menerajui inovasi digital, menjadi bank pertama di Brunei yang mengguna pakai pengurusan risiko kredit dipacu kecerdasan buatan (AI) melalui perkongsiannya dengan syarikat fintech yang berpangkalan di Singapura Finbots.ai.

    Perkongsian tersebut telah meningkatkan penilaian kredit dan membawa kepada kelulusan pinjaman yang lebih cepat dan lebih tepat.

    Di samping itu, bank juga memperkenalkan Baiduri Qpay, dompet digital untuk pemegang kad debit UnionPay, dan melancarkan Maribali, sebuah e-pasaran yang menyokong PKS tempatan.

    Kedua-dua inisiatif tersebut adalah selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital Brunei 2025, menunjukkan komitmen berterusan Bank Baiduri untuk memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

    Ti Eng Hui dalam ucapannya berkata, “Kami amat berbesar hati menerima anugerah Bank Terbaik Euromoney di Brunei untuk tahun ketiga berturut-turut.

    “Pengiktirafan ini mencerminkan dedikasi pasukan kami serta komitmen berterusan kami untuk memberikan pengalaman perbankan yang luar biasa.

    “Tatkala kami melihat ke hadapan, kami akan terus menumpukan pada inovasi, kemampanan dan penglibatan bersama komuniti kami,” katanya.

    Sempena Bank Baiduri meraikan ulang tahunnya yang ke-30, anugerah ini menyerlahkan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan berterusannya untuk memperkasakan individu dan perniagaan bagi mencapai kejayaan kewangan di Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda