Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Bank Baiduri telah diiktiraf sebagai Kumpulan Perbankan Terbaik untuk Brunei 2023 oleh World Finance, penerbitan kewangan antarabangsa terkemuka berpangkalan di UK.
Pencapaian luar biasa itu menandakan tahun ke-15 Bank Baiduri menerima penghormatan berkenaan, menurut kenyataan yang dikeluarkan bank.
World Finance mengucapkan tahniah kepada Bank Baiduri untuk rekod tersebut dan berkongsi, “Bank Baiduri terus melihat pertumbuhan yang sihat dalam keuntungan operasi dan kewangan utamanya.
“Bank berkenaan meneruskan inovasi dengan mengguna pakai teknologi baharu dan terus meningkatkan penawaran digitalnya, termasuk aplikasi perbankan mudah alihnya yang memenangi anugerah.”
Pada masa yang sama World Finance juga memuji Bank Baiduri atas komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pembangunan kemahiran, pendidikan kewangan dan pemerkasaan komuniti.
Mengulas mengenai anugerah itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata, “Tingkah laku pengguna telah berkembang pesat, dan ini dipercepatkan lagi oleh COVID-19. Untuk kekal tangkas dan terus berada di hadapan dalam industri yang berubah-ubah, adalah penting untuk kami terus membuat pelaburan strategik dalam teknologi baru muncul untuk membuka peluang yang dipacu nilai baharu dan inovatif.”
Beliau seterusnya mengaitkan pencapaian itu kepada usaha berterusan pihak bank dalam menyediakan pengalaman perbankan yang lebih baik untuk pelanggannya.
“Kami sedang memodenkan dan membuat inovasi pada infrastruktur semasa – menggunakan teknologi moden secara aktif termasuk kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, Automasi Proses Robotik (RPA) dan perkhidmatan mikro baharu untuk mengautomasikan aliran kerja sedia ada,” tambah beliau.
World Finance merupakan majalah cetak dan dalam talian suku tahunan yang menyediakan liputan dan analisis komprehensif mengenai industri kewangan, perniagaan antarabangsa dan ekonomi global.


