Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri diiktiraf Kumpulan Perbankan Terbaik

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – Sebagai pengiktirafan yang menandakan tahun ke-16, Bank Baiduri sekali lagi telah diberi penghormatan dengan gelaran Kumpulan Perbankan Terbaik untuk Brunei 2024 oleh World Finance, penerbitan kewangan antarabangsa berprestij yang berpangkalan di United Kingdom.

    Sepanjang lima tahun yang lalu, Bank Baiduri telah menunjukkan prestasi kewangan yang mengagumkan, terutamanya di tengah-tengah cabaran ekonomi global, dan terus mengutamakan transformasi digital sebagai strategi perniagaan teras.

    World Finance memuji pendekatan pemikiran ke hadapan Bank Baiduri dan perkongsian inovatif dengan fintech untuk mengembangkan penawaran digitalnya dan membina produk yang mengutamakan digital. Mereka menyatakan, Bank Baiduri telah mencapai satu tahun rekod dari segi keuntungan bersih dan menunjukkan pertumbuhan yang sangat positif merentas metrik utama seperti nisbah modal, pulangan atas aset dan pulangan atas ekuiti.

    Selain itu, World Finance juga berkata bahawa kepimpinan Bank Baiduri dalam kesejahteraan pekerja dan juga Tanggungjawab sosial korporat (CSR) mengekalkan kedudukan mereka sebagai sebuah bank yang prihatin.

    Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui ketika mengulas mengenai penerimaan anugerah berkenaan berkata Bank Baiduri berusaha untuk memimpin melalui teladan kerana perniagaan mereka menyesuaikan diri untuk kekal bersedia menghadapi masa hadapan.

    Gambar serahan Bank Baiduri

    “Sebagai perintis dalam perbankan dalam talian dan mudah alih, kami memajukan lagi keupayaan digital kami melalui perkongsian dengan Temenos, untuk menggantikan sistem warisan kami dengan sistem perbankan teras cloud-based baharu, yang direka bentuk untuk meningkatkan kecekapan operasi. Setelah wujud, kerjasama ini akan meletakkan Bank Baiduri sebagai bank pertama di Brunei yang mengendalikan platform perbankan terasnya dalam cloud di bawah model SaaS,” tambahnya.

    Ti Eng Hui seterusnya mengaitkan pengiktirafan ini kepada usaha gigih pihak bank untuk meningkatkan pengalaman perbankan pelanggannya.

    “Tahun lepas, kami memperkenalkan digital wallet baharu, Baiduri Qpay, kepada rangkaian perkhidmatan pembayaran digital kami. Selain itu, kami melancarkan Hab Perusahaan Baiduri, ruang kerja bersama untuk PMKS dan usahawan baharu, dan Maribali, inisiatif e-marketplace yang pertama seumpamanya, dengan kerjasama PKS tempatan,” jelasnya.

    Beliau turut berkata Bank Baiduri juga bekerjasama dengan syarikat fintech yang berpangkalan di Singapura, Finbots.ai tahun lepas, yang terkenal dengan penyelesaian pengurusan risiko kredit dipacu AI, creditX. Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memodenkan pengurusan risiko kredit Bank Baiduri, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan risiko, terutamanya dalam pinjaman runcit dan PKS.

    “Perjalanan transformasi digital kami berterusan apabila kami meningkatkan perkhidmatan perbankan digital dan memanfaatkan perkembangan menarik dalam AI. Keutamaan kami kekal kepada inovasi yang mengutamakan pelanggan. Kami merancang untuk meningkatkan lagi penyelesaian perbankan peribadi kami dan terus menyokong PMKS tempatan. Kami juga komited terhadap kemampanan dan inisiatif komuniti melalui aktiviti CSR kami, sejajar dengan matlamat kemampanan global,” ujarnya lagi.

    Tambah Ti Eng Hui, secara dalaman, Bank Baiduri sedang mengorak langkah penting untuk memastikan organisasi, terutamanya golongan pekerja, dilengkapi untuk menyokong perjalanan transformasi digitalnya. Bank Baiduri juga telah mempercepatkan pelaburannya dalam pengurusan sumber manusia dan bakat.

    “Sejak awal 2022, kami telah menumpukan pada peningkatan kemahiran pekerja kami melalui pelbagai inisiatif dan program yang bertujuan untuk memupuk keupayaan kepimpinan, seperti Akademi Kepimpinan kami dan Program Pementoran Pemimpin Baru Muncul. Para peserta menerima peluang pembangunan yang komprehensif, kedua-dua teknikal dan profesional, melalui bimbingan dan pengalaman pembelajaran yang pelbagai,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda