Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Bank Baiduri telah diiktiraf Kumpulan Perbankan Terbaik bagi Brunei untuk tahun ke-17 berturut-turut di Anugerah Perbankan World Finance 2025, sekali gus mengiktiraf kepimpinan, inovasi dan ketahanan bank tersebut ketika menghadapi cabaran ekonomi dan industri global sepanjang tahun.
Anugerah Perbankan World Finance memberi penghormatan kepada institusi-institusi yang menetapkan penanda aras bagi pertumbuhan yang bertanggungjawab dan mentakrifkan semula masa depan perbankan.
Tahun 2024 merupakan tahun yang mencatatkan keuntungan tertinggi, modal dan pembiayaan yang kukuh, pengurusan risiko yang cemerlang serta kecekapan industri bagi Bank Baiduri.
Pada tahun itu juga, bank berkenaan telah memajukan agenda digitalnya dengan pelancaran Baiduri Tap2Pay, iaitu penyelesaian pembayaran mudah alih pertama di Brunei yang menggunakan teknologi NFC dan direka khas untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Penambahbaikan terhadap aplikasi perbankan digital Baiduri juga telah memperkukuh perlindungan pelanggan melalui ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan.

Bank tersebut turut membuat pelaburan besar dalam pembangunan sumber manusia, termasuk memperluaskan Akademi Kepimpinan dan Program Bimbingan Pemimpin Pelapis, di samping memperkasa budaya kelestarian dalam organisasi.
Selain itu, Bank Baiduri juga mencatat kemajuan ketara dalam perjalanan kelestariannya berpandukan rangka kerja Baiduri Greenprint, yang berasaskan tiga tonggak utama iaitu Manusia, Proses dan Alam Sekitar.
Antara pencapaian penting termasuk penyelesaian penilaian kematanan komprehensif pertama, pelantikan Ketua Kelestarian pada tahun 2025, menjadi penandatangan kepada Perjanjian Global Bangsa-bangsa Bersatu (UNGC) dan menandatangani perjanjian pembiayaan dengan Seri Suria Power sebagai pembiaya tunggal bagi loji jana kuasa solar fotovoltaik berskala besar pertama di Brunei Darussalam.
Pengiktirafan terbaharu berkenaan menambah kepada senarai anugerah yang semakin berkembang untuk bank berkenaan pada tahun 2025.
Ia termasuk Bank Digital Terbaik di Brunei oleh Euromoney, Bank Domestik Runcit Terbaik Brunei di Asian Banking & Finance Awards, Bank Terbaik di Brunei oleh FinanceAsia, Bank Terbaik Brunei oleh Global Finance, Bank Runcit Terbaik di Brunei oleh The Asian Banker dan Bank Pengurusan Terbaik di Brunei di Anugerah Pencapaian Kepimpinan Global TAB.

