Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri Finance bantu golongan terjejas

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Berdasarkan garis panduan dari Bank Pusat Brunei Darussalam (BDCB), Baiduri Finance, anak syarikat milik sepenuhnya Bank Baiduri, terus tampil komited dalam usaha menyediakan langkah-langkah bantuan kepada individu dan perniagaan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 yang melanda tanah air pada masa ini.

    Sehubungan dengan itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Baiduri Finance, hari ini, pihak syarikat telah menawarkan penangguhan bayaran sewa beli bagi pihak perseorangan dan perniagaan sehingga 31 Disember 2021.

    Pengarah Urusan Baiduri Finance, Haji Haliluddin bin Dato Haji Talib menjelaskan dengan adanya sokongan dan bimbingan BDCB, pihak syarikat telah memperluaskan lagi langkah-langkah bantuan berkenaan khususnya bagi mereka yang memerlukan bantuan kewangan memandangkan situasi COVID-19 di negara.

    Kenyataan turut berkongsi bahawa untuk memohon penangguhan berkenaan, individu dan syarikat yang layak dikehendaki menghantar Borang Permohonan Penangguhan Sewa Beli disertakan bersama semua dokumen sokongan semasa waktu pejabat melalui drop box yang disediakan di luar pintu masuk utama Baiduri Finance, Sumbangsih.

    Dalam pada itu, borang permohonan boleh dimuat turun dari laman sesawang rasmi pihak bank. Setiap permohonan akan dinilai oleh pihak Baiduri Finance berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan para pemohon akan dikemas kini mengenai status permohonan mereka.

    Borang permohonan penangguhan sewa beli berkenaan boleh dimuat turun dari laman sesawang rasmi pihak bank berkenaan. – Gambar serahan Baiduri Finance

    Sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan, para pelanggan juga digalakkan menggunakan saluran digital seperti aplikasi Baiduri Finance Mobile untuk membuat pembayaran sewa beli dengan menggunakan mana-mana kad kredit atau kad debit yang diperakui di negara ini; memperbaharui insurans kereta dan juga cukai jalan mereka.

    Untuk permohonan sewa beli, para pelanggan boleh melakukannya melalui HP Online yang dapat diperoleh di www.baiduri.com.bn/baiduri-finance/services/hp-online atau melalui pautan yang terdapat di Baiduri Finance Mobile.

    Selain itu, terdapat juga beberapa saluran layan diri sebagai alternatif yang disediakan untuk para pelanggan yang tidak mempunyai akaun Baiduri seperti pemindahan langsung dalam talian antara bank secara percuma sehingga 31 Disember 2021,melalui mesin ATM dan Mesin Deposit Tunai. Bagi maklumat lanjut, orang ramai bolehlah melayari www.baiduri.com.bn/baiduri-finance/covid-19-hp-payment-via-digital-channels.

    Di samping itu, talian hotline menerusi WhatsApp juga telah diperkenalkan oleh Baiduri Finance bagi mewujudkan kemudahan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu termasuklah bantuan Bluecard, HP Care bagi insurans kenderaan dan pembaharuan cukai jalan, dan juga bantuan sokongan pelanggan umum.

    Dalam pada itu, pelanggan juga dikehendaki untuk membuat temu janji terlebih dahulu sebelum mengunjungi cawangan atas urusan-urusan tertentu bertujuan mengurangkan masa beratur.

    Sehubungan dengan itu, dalam menjangkakan permintaan yang lebih tinggi terutamanya menjelang tempoh penerimaan gaji, kaunter Baiduri Finance hanya akan menerima pembayaran HP bermula sekarang hingga 10 September ini. Manakala temu janji untuk semua perkhidmatan lain akan dijadualkan dari 13 September dan seterusnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda