BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mei – Sebanyak 10 buah keluarga di Daerah Temburong telah dibawa berbuka puasa oleh Bank Baiduri sebagai acara terakhir sempena ‘Let’s Give Back This Ramadhan’, kelmarin. Acara tersebut berlangsung di Restoran Hotel StoneVille yang turut dihadiri oleh para media dan sukarelawan Bank Baiduri.
Siri ‘Let’s Give Back This Ramadhan’ tersebut bertujuan untuk menyediakan bantuan kepada beberapa buah keluarga terpilih di keempat-empat daerah dengan menyumbangkan hamper-hamper, barangan makanan serta wang tunai.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Perbankan Runcit Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha,” Bulan suci Ramadan adalah masa untuk merenung dan memberi kembali. Minggu lepas, kakitangan Bank Baiduri meluangkan masa untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan di Daerah Brunei dan Muara, Belait dan Tutong sejajar dengan rangka kerja tanggungjawab sosial kami untuk mereka.
“Kami harap sumbangan wang tunai dan hamper ini akan membolehkan mereka menikmati keraian Hari Raya Aidilfitri bersama-sama,” tambahnya.
Acara itu diakhiri dengan acara berbuka puasa, yang turut dihadiri oleh Ketua JAPEM Cawangan Daerah Temburong, Dayang Merdana Encharang.
Sebelum ini tiga acara ‘Let’s Give Back This Ramadhan’ telah diadakan bagi keluarga-keluarga di Daerah Brunei dan Muara, Belait dan Tutong.
