Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Bank Baiduri telah melancarkan pusingan ketiga program tahunan, Emerging Leaders Programme yang berlangsung di Ruang Komuniti Baiduri, Ibu Pejabat Bank Baiduri, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan inisiatif berkenaan menggariskan komitmen berterusan Bank Baiduri untuk memupuk budaya pembangunan profesional dan pembangunan kepimpinan di serata organisasi.
Program berkenaan juga bermatlamat untuk membangunkan kakitangan dalam Kumpulan Bank Baiduri dengan meningkatkan kompetensi teknikal dan kepimpinan mereka melalui bimbingan daripada hubungan mentor yang berstruktur.
Acara pelancaran berkenaan telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui bersama-sama jawatankuasa pengurusan bank serta ketua-ketua pelbagai bahagian.
Dalam kata alu-aluannya, Ti Eng Hui menekankan pentingnya nilai bimbingan di mana ia dipercayai bukan sahaja mengenai perkongsian ilmu pengetahuan tetapi penjelmaan nilai-nilai asas empati dan keusahawanan.
Nilai-nilai itu, tambahnya, adalah amat penting dalam membimbing dan merangsang pemimpin generasi akan datang yang akan membentuk masa depan organisasi mereka.
Acara kemuncak majlis berkenaan menyaksikan sebuah sesi perbincangan panel yang mengetengahkan tiga peserta yang telah menyertai program berkenaan sejak ia dilancarkan pada 2022. Pengalaman yang dikongsi adalah mengenai bagaimana aktiviti-aktiviti program telah membentuk perjalanan kepimpinan mereka dan menyokong pertumbuhan mereka sebagai pemimpin.
Dalam tahun ketiganya, program berkenaan terus berubah, di mana pada tahun ini, elemen-elemen baharu yang direka untuk mendalamkan penglibatan mentor-mentee serta memperluaskan pendedahan kepimpinan akan diperkenalkan.
Acara yang diketengahkan termasuk peluang bagi mentee untuk menubuhkan rangkaian dengan kepimpinan kanan, mengambil bahagian dalam sesi pembinaan pasukan serta terlibat dalam aktiviti-aktiviti pembangunan disasarkan.