Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sejak penubuhannya lima tahun lalu, Baiduri Capital telah menawarkan pelbagai produk pelaburan untuk memenuhi pelbagai objektif pelaburan dan keselesaan risiko pelanggannya.
Kini, dalam usaha untuk meningkatkan lagi kesedaran mengenai pentingnya pembelajaran bagaimana untuk melabur dan memastikan pelanggannya terus peka dengan trend terkini serta pembangunan dalam pasaran kewangan global, Baiduri Capital melancarkan Promosi Investing in Your Tomorrow.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Baiduri Capital, di sini, kempen itu bermula pada November lalu dan akan berjalan sehingga akhir Mac 2021 serta dibuka bagi pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu Baiduri Capital.
Bagi setiap jumlah ditetapkan yang dilaburkan dalam sekuriti termasuk saham dan Dana Dagangan Pertukaran (Exchange Traded Funds, ETFs), bon atau amanah saham semasa tempoh promosi, para pelanggan adalah layak untuk mendapat satu peluang bagi memenangi hadiah-hadiah menarik dalam acara cabutan bulanan atau dalam cabutan utama di akhir tempoh promosi.
Manakala setiap bulan semasa tempoh promosi, lima orang pelanggan yang layak akan dipilih secara rawak untuk memenangi baucar membeli-belah dan makan bernilai $250 setiap satu. Pemenang bulanan juga layak bagi cabutan bulanan seterusnya jika mereka memenuhi kriteria pelaburan itu lagi semasa tempoh promosi.
Pelbagai hadiah-hadiah menarik menanti para pelanggan bertuah dalam cabutan utama termasuk peranti Microsoft Surface Pro 7, Pen Surface and tetikus Surface bagi hadiah ketiga, satu set televisyen 65-inci QLED Ultra HD Samsung dan sebuah Dyson V7 Absoluter Plus bagi hadiah kedua dan penginapan tiga hari dan dua malam di The Empire Brunei bersama-sama kipas Dyson Pure Cool Purifier bagi hadiah pertama.
Mengulas mengenai dengan promosi itu, Pengurus Besar Baiduri Capital, Peng Eng Soon berkata bahawa sejak memasuki pasaran kira-kira lima tahun lalu, Baiduri Capital telah mengembangkan jumlah pelanggannya di mana kebanyakan mereka adalah profesional muda yang melabur dalam pasaran sekuriti buat kali pertama.
Dalam tempoh itu, jelasnya, pihaknya telah memperkenalkan pelbagai penyelesaian pelaburan untuk memenuhi permintaan dan matlamat berlainan pelanggan mereka. Menerusi seminar dan bengkel pelaburan yang dikendalikan bersama rakan-rakan strategik, pihaknya telah membantu untuk mengembangkan keupayaan pelaburan pelanggan mereka dengan pandangan yang berharga daripada pakar-pakar industri.
Beliau menerangkan bahawa promosi itu bermatlamat untuk memberikan penghargaan kepada pelanggan mereka dengan peluang untuk memenangi pelbagai jenis hadiah daripada pengalaman makan hingga kepada gajet yang menarik.
“Ini merupakan salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan kami atas kepercayaan mereka.”
Beliau juga menyatakan harapan menerusi promosi itu, ia akan menarik minat pelanggan mereka untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan untuk memenuhi matlamat pelaburan mereka.