Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Bank Baiduri mencatatkan sebuah mercu tanda signifikan dalam perjalanannya ke arah memperkasakan masyarakat dengan pelancaran Pusat Kesejahteraan Kewangan (FWC) sebagai pusat kemudahan yang pertama sepertinya di Brunei, khusus bagi memperkukuhkan literasi kewangan serta menyediakan bimbingan khusus bagi individu pada setiap peringkat kehidupan.

Majlis perasmian FWC yang berlangsung di Ibu Pejabat Bank Baiduri, hari ini, disempurnakan oleh Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Hajah Rashidah binti Haji Sabtu, yang juga Pengerusi Majlis Literasi Kewangan Kebangsaan (NFLC) Pillar 3.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli NFLC, pegawai-pegawai kanan kerajaan, rakan-rakan kongsi serta para jemputan khas.
Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyatakan pusat berkenaan ditubuhkan dengan kepercayaan bahawa kesejahteraan kewangan harus boleh diakses, peribadi dan dibina dengan kepercayaan.

Oleh itu, pusat berkenaan, direka untuk menjadi sebuah hab di mana individu boleh mendapatkan bimbingan, memperoleh pencerahan dan mengambil langkah praktikal ke arah matlamat kewangan mereka.
“Visi kami adalah supaya Pusat Kesejahteraan Kewangan berkembang menjadi hab kebangsaan bagi pemerkasaan kewangan, tempat yang dipercayai di mana rakyat Brunei, tanpa mengira titik permulaan mereka, tahu bahawa mereka boleh mendapatkan sokongan,” tambahnya lagi.


Berbeza daripada cawangan bank tradisional atau meja nasihat, FWC direka untuk mendahulukan orang ramai di mana pendekatannya amat peribadi, dengan perkhidmatan yang menumpukan kepada pemerkasaan dan pendidikan.
Para pengunjung akan meneroka peralatan penilaian diri yang membantu mereka memahami peribadi pelaburan dan wang mereka serta juga terlibat dalam konsultasi satu-sama-satu dengan perancang kewangan yang menyediakan nasihat berorientasikan matlamat dan praktikal.
Pusat itu juga akan menghoskan bengkel dan menawarkan sumber untuk membimbing individu melalui mercu tanda utama kehidupan daripada menyimpan untuk pendidikan kepada merancang untuk persaraan.
Dengan menawarkan gabungan peralatan praktikal dan sokongan peribadi, Bank Baiduri berhasrat untuk membina keyakinan warga Brunei untuk bertanggungjawab bagi kesejahteraan kewangan mereka, tanpa mengira apa jua peringkat kehidupan mereka.
Penubuhan FWC itu, mencerminkan komitmen Bank Baiduri yang lebih luas bagi memajukan celik kewangan sebagai sebahagian daripada agenda kebangsaan Brunei.
Inisiatif itu adalah selaras dengan visi NFLC 2025–2035, yang bermatlamat untuk mengukuhkan pemahaman kewangan dan meluaskan keterangkuman ke seluruh negara.
Melalui sokongan berpanjangannya kepada BDCB, Bank Baiduri juga terlibat secara aktif dalam program di seluruh negara untuk memupuk kesedaran dan kedayatahanan kewangan.
“Literasi kewangan hanya boleh diperkukuh apabila kita bekerjasama. Pusat ini mencerminkan kepentingan kerjasama merentas ekosistem dan kami berharap untuk meneruskan usaha ini bersama rakan kongsi kami untuk memastikan lebih ramai rakyat Brunei diperkasakan untuk membina masa depan kewangan yang terjamin,” tambah Ti Eng Hui.
Pelancaran FWC mengetengahkan peranan Bank Baiduri sebagai sebuah institusi kewangan yang melangkaui produk dan transaksi. Dengan memperjuangkan pendidikan kewangan, menyediakan alat praktikal dan mewujudkan ruang untuk pembelajaran sepanjang hayat, bank itu terus meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam pemerkasaan kewangan di Brunei.



Melalui inisiatif berkenaan, Bank Baiduri mengukuhkan kepercayaannya bahawa pengetahuan merupakan asas pemerkasaan di mana masyarakat yang peka daripada segi kewangan merupakan kunci untuk membina masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan untuk negara.
Orang ramai adalah digalakkan untuk berkunjung ke FWC di Ibu Pejabat Bank Baiduri untuk meneroka kemudahannya, mencuba sendiri peralatan interaktif serta berinteraksi secara langsung dengan perancang kewangan.
Pusat berkenaan adalah dibukakan kepada semua warga Brunei dan bukannya hanya kepada pelanggan Baiduri, sebagai sebahagian daripada komitmen bank berkenaan untuk menjadikan kesejahteraan kewangan boleh diakses oleh semua.

