Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri Masters 2025 mula saingan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Kejohanan Baiduri Masters 2025 yang dinanti-nantikan secara rasmi dimulakan pagi ini di Kelab Golf Pantai Mentiri (PMGC), menandakan permulaan dua hujung minggu yang penuh dengan aksi golf menarik bagi menyokong inisiatif kemasyarakatan yang bermakna.

    Acara tee-off simbolik telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi Bank Baiduri, Pengiran Azaleen bin Pengiran Dato Haji Mustapha merangkap Presiden Baiduri Masters, bersama Pengerusi Kelab Golf Pantai Mentiri, Kolonel (B) Zahrin bin Haji Zunaidi.

    Pelancaran tersebut turut disaksikan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif PMGC, pegawai-pegawai kejohanan dan para pemain awal pagi ketika kumpulan pertama memulakan permainan di bawah langit cerah.

    Kini memasuki edisi ke-27, Baiduri Masters terus menghimpunkan komuniti golf Brunei dalam usaha menyokong pelbagai inisiatif kebajikan.

    Hasil kutipan daripada kejohanan tahun ini akan disalurkan kepada lima organisasi tempatan – SMARTER Brunei, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BNAB), La Vida Berhad, Learning Ladders Society dan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak (CDC) sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Bank Baiduri untuk memperkaya, memperkasakan dan melibatkan komuniti yang dilayaninya.

    Acara tee-off simbolik turut disempurnakan oleh Kolonel (B) Zahrin. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI
    Pengiran Azaleen ketika menyempurnakan acara tee-off simbolik sebagai tanda bermulanya Kejohanan Baiduri Masters 2025, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN BANK BAIDURI

    Ketika kejohanan berlangsung, keputusan awal mula diterima, dengan beberapa prestasi cemerlang segera memberi gambaran bahawa edisi tahun ini bakal menerima saingan sengit.

    Mendahului carta pendahulu hari pertama ialah Bryan Chiew yang mencatat skor gross mengagumkan sebanyak 66, iaitu enam bawah par.

    Beliau diikuti oleh Suhaimi Ibrahim dengan 70, dan Fauzi Haji Timbang dengan 76, manakala peserta lain mengekori rapat dengan catatan skor dalam lingkungan 70an dan 80an.

    Pendaftaran untuk Baiduri Masters 2025 masih dibuka. Pemain boleh mendaftar dengan kadar tetap $120 bagi kategori Lelaki, Wanita dan Veteran, manakala kadar $60 dikenakan bagi kategori Junior. Diskaun pendaftaran dalam talian turut ditawarkan pada kadar $115 melalui platform Maribali di laman sesawang www.maribali.com.bn.

    Sebagai alternatif, pemain boleh mendaftar secara fizikal dengan menyerahkan borang lengkap dan membuat bayaran penuh di kaunter pendaftaran di PMGC. Borang pendaftaran boleh dimuat turun dalam talian atau didapati di lokasi kejohanan.

    Untuk memuat turun borang atau mendapatkan maklumat lanjut, layari www.baiduri.com.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda