Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Dalam usaha berterusan untuk mempromosi disiplin kewangan sementara memperkasakan pelanggan bagi mencapai matlamat persaraan jangka panjang mereka, Bank Baiduri telah memperkenalkan akaun simpanan baharu, iaitu Baiduri Prime Saver.
Baiduri Prime Saver menawarkan ciri-ciri unik yang direka untuk membantu memupuk tabiat menabung. Ia termasuk kadar faedah yang menarik setahun dan sehingga empat pengeluaran setahun dengan had ke atas jarak waktu dan jumlah pengeluaran.
Di samping itu, pemegang akaun tidak akan menerima kad debit dan tiada pemindahan dalam talian ke luar dibenarkan daripada akaun, untuk mengelakkan pengeluaran bukan kecemasan.
“Matlamat utama kami adalah untuk memupuk budaya menabung, dilengkapi dengan menerima kadar faedah yang kompetitif,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Bank Baiduri, Manuel Bulens.
Beliau seterusnya menghuraikan bahawa melalui Baiduri Prime Saver, Bank Baiduri berharap dapat menawarkan produk yang akan membantu pelanggan mencapai matlamat simpanan jangka panjang mereka.
Selain itu, mereka yang mendaftar untuk akaun simpanan Baiduri Prime Saver dari sekarang hingga akhir Mac 2024 akan menikmati kadar faedah tambahan setahun sehingga akhir Disember. Kadar faedah promosi ini diguna pakai untuk baki akaun harian daripada $2,000 dan sehingga maksimum $250,000.
Untuk membuka akaun Baiduri Prime Saver, pelanggan akan dikehendaki membuat deposit minimum sebanyak $2,000.
Untuk maklumat lanjut tentang Baiduri Prime Saver dan produk serta promosi lain, pelanggan boleh mengunjungi mana-mana cawangan Bank Baiduri, menghubungi Talian Bantuan Pelanggan 24 jam Bank Baiduri atau layari laman sesawang mereka.


