Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Bank Baiduri meraikan satu lagi mercu tanda membanggakan dalam perjalanan 30 tahunnya dengan pembukaan rasmi pejabat perwakilan luar negara pertamanya di Marina Bay Financial Centre (MBFC) Tower 2 di Singapura, salah sebuah hab kewangan paling berprestij di rantau ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, majlis pelancaran yang diadakan pada 15 Mei itu dihadiri oleh Pengerusi Bank Baiduri, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pemimpin-pemimpin perniagaan dari Negara Brunei Darussalam dan Singapura.
YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah merasmikan pelancaran Pejabat Perwakilan Singapura dengan menyalakan sebuah ukiran terperinci replika 3D. Replika berkenaan mengetengahkan Ibu Pejabat Bank Baiduri dan MBFC Tower 2 Singapura, dikelilingi dengan mercu tanda ikonik dari kedua-dua buah negara, justeru melambangkan hubungan ekonomi kukuh di antara kedua-dua buah negara dan lambang visual kehadiran bank yang semakin meningkat di rantau serta komitmen kepada kolaborasi rentas sempadan.
Majlis diteruskan dengan penandatanganan plak untuk memperingati majlis khas berkenaan, disusuli bacaan Doa Selamat diketuai oleh Imam Besar Singapura, Fahmi Hamdan Ali.
Para tetamu kemudiannya dijemput bagi lawatan berpandu ke pejabat perwakilan, yang menampilkan kemudahan persidangan terkini, ruang untuk pengembangan masa depan serta dinding ciri khusus yang mempamerkan peluang pelaburan di Brunei, dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei.



Pejabat itu juga menempatkan pemasangan fotografi beresolusi tinggi yang menarik daripada Pameran Gigapixel BN40, yang merakamkan komposisi panorama rakyat Brunei dari semua lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah, kakitangan hospital, pegawai polis dan duta yang disatukan dalam satu imej kuat melambangkan identiti dan kebanggaan negara.
“Penubuhan Pejabat Perwakilan Singapura menandakan satu langkah strategik ke hadapan dalam perjalanan serantau Bank Baiduri,” kata YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah.
“Ia mencerminkan komitmen kami untuk mengukuhkan hubungan Brunei dengan ekosistem kewangan ASEAN dan peranan bank dalam memacu kerjasama serantau.”
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Ti Eng Hui merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan mereka atas kepercayaan berterusan serta kepada kakitangannya atas dedikasi mereka untuk merealisaikan pencapaian itu.
Pelancaran Pejabat Perwakilan Singapura merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan keberadaan serantau Bank Baiduri, mempromosikan keupayaan perbankan institusi dan korporat serta meningkatkan penglibatan dengan insitusi kewangan dan bank rakan niaga.
Sempena pelancaran di Singapura, Bank Baiduri telah melantik Young Yi sebagai Ketua Pegawai Perwakilan. Seorang ahli perbankan korporat yang berpengalaman dengan pengalaman lebih 25 tahun, Young Yi telah berkhidmat dengan institusi-institusi seperti Deutsche Bank, HSBC, Societe Generale, ANZ dan Westpac.
Kepakarannya di rantau dan hubungan pelanggan mampu memacu penglibatan Bank Baiduri di Singapura.
Acara diteruskan dengan majlis n resepsi rangkaian di Mandarin Oriental Singapura yang dihadiri oleh lebih 300 orang tetamu yang dihormati, termasuk pemimpin kanan dari bank serta institusi kewangan serantau dan antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.

