Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Acara komuniti Baiduri Santai Sahur yang diadakan selama empat minggu sepanjang bulan Ramadan telah berakhir.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, acara itu diadakan setiap malam Sabtu di Letak Kereta Bertingkat dan Baiduri South Lawn di Ibu Pejabat Bank Baiduri di mana ia telah menyumbang secara signifikan kepada pemupukan perpaduan masyarakat dan keusahawanan tempatan.
Dengan kerjasama Saucysside and the Gang, Baiduri Santai Sahur berjaya menghoskan 25 vendor makanan dan minuman yang menyediakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan sebuah platform untuk mengetengahkan dan menjual produk-produk mereka. Dengan menerima pakai transaksi tanpa tunai dan menggalakkan penggunaan bekas boleh digunakan semula, acara berkenaan meletakkan asas bagi model perniagaan secara digital dan mampan, selaras dengan matlamat kemampanan alam sekitar serta pembangunan ekonomi.
Para vendor juga digalakkan untuk menggunakan pilihan pakej alternatif, mesra-eko seperti bekas, pinggan dan peralatan makan boleh digunakan semula atau biodegradasi, sekali gus mempromosikan tanggungjawab alam sekitar dalam masyarakat.
Melalui kerjasama strategik dengan Kawan Bumi dan Shaliz Waste Recycling Sdn Bhd, kira-kira 100 kilogram (kg) kertas, 40 kg plastik, 30 kg aluminium dan 2 galon minyak masak terpakai telah dikutip.
Semasa acara tersebut, 25 orang pelanggan telah menerima baucar cabutan bertuah bernilai $10 bagi menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai termasuk penggunaan kad Baiduri, kad debit dan Qpay. Pengenalan pembayaran tanpa tunai dan pengagihan baucar bernilai $10 kepada para pengunjung yang memilih kaedah transaksi tanpa tunai bukan sahaja memudahkan proses pembelian tetapi juga mengetengahkan kecekapan dan mudahnya menerima pakai penyelesaian pembayaran moden.
Mengimbas kejayaan acara berkenaan, Ketua Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Awang Mohd Isa Liew bin Mohd Amin Liew menyatakan maklum balas positif terhadap Baiduri Santai Sahur menunjukkan kekuatan penglibatan masyarakat dan potensi amalan-amalan perniagaan mampan dan dipermudahkan digital.
Beliau juga berkata dengan berakhirnya acara itu, ia mengingatkan kita kepada komitmen kepada komuniti perniagaan Brunei, mengukuhkan lagi dedikasi untuk memupuk sebuah ekosistem perniagaan yang inovatif dan berdaya tahan.
Pada masa yang sama, usaha kolektif daripada semua yang terlibat memberikan inspirasi kepada mereka untuk meneruskan usaha mempercepatkan pertumbuhan usahawana tempatan, menggalakkan pilihan mampan serta kemajuan digital.


