BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Bank Baiduri tidak ketinggalan untuk menyertai Pameran Kewangan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) yang akan berlangsung di The Mall, Gadong pada 1 dan 2 September ini bersempena Hari Menabung Kebangsaan 2018.
Membawa tema ‘Generasi Celik Kewangan’, Baiduri akan mengendalikan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung bagi membantu meningkatkan kesedaran mengenai literasi kewangan dan membantu mereka menabung menerusi promosi-promosi yang sedang dijalankan Bank Baiduri.
Turut ditawarkan adalah konsultasi percuma mengenai pengurusan harta dan pelaburan produk dan perkhidmatan, selain menyediakan sudut kanak-kanak, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri.
Di samping itu, pada 1 September, bank berkenaan akan menjalankan permainan-permainan khas di atas pentas yang boleh disertai para pengunjung seperti ‘Money Personality’ dan ‘Learning How To Budget’.
‘Money Personality’ adalah permainan yang direka untuk membantu peserta mengenal pasti tabiat kewangan mereka, manakala itu, ‘Learning How To Budget’ mengajar peserta mengenai bagaimana menggunakan bajet secara optimum dengan meletakkan mereka sebagai pemilik rumah baharu.
Permainan berkenaan memberi ganjaran kepada mereka yang mengubahsuai rumah dengan barangan rumah fiksyen paling banyak dalam lingkungan bajet yang disediakan.