BANDAR SERI BEGAWAN, 29 FEB – Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk menyokong dan melibatkan komuniti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan, Bank Baiduri, akan kembali menyertai Festival PMKS Brunei, yang bermula hari ini hingga 3 Mac, dari pukul 10 pagi hingga 9 malam setiap hari di Dewan Bridex 1 & 2, Jerudong.
Festival tersebut adalah bertujuan bagi meningkatkan kesedaran mengenai produk dan perkhidmatan tempatan dan menggalakkan aktiviti keusahawanan. Tahun ini, selain hadir di acara tersebut, Bank Baiduri juga menaja beberapa PMKS untuk menyertai acara tersebut sebagai pempamer, dengan memberikan mereka peluang untuk memajukan perniagaan mereka melalui festival tersebut.
Antara PMKS yang disokong oleh Bank Baiduri ialah Alan’s Churros, Heritage Bakwa, Puteri Qaseh Enterprise, Taurean Bakeshop & Cafe, Arquilato Kusina, Si Manja Pet and Grooming Spa, Iman Putera, AVH ATV Rental Enterprise, Sence of Solace dan Superfish Growers.
Selama empat hari festival berlangsung, Bank Baiduri juga akan menyediakan klinik perniagaan one-to-one kepada mereka yang mendaftar di https://www.baiduri.com.bn/business/services/upcoming-events. Tempat duduk adalah terhad dan diberikan mengikut urutan pendaftaran. Klinik itu adalah platform untuk perundingan perniagaan mengenai pelbagai topik, dari kewangan hingga kemahiran pengurusan.
Ketua Perbankan Perniagaan Bank Baiduri, Isa Liew, yang akan memimpin klinik perniagaan tersebut berkata, “Kami tidak hanya menawarkan produk dan perkhidmatan yang sesuai dengan keperluan PMKS, tetapi uuntuk membantu menilai kesihatan perniagaan mereka dan mencari penyelesaian untuk meningkatkan daya saing.”