Friday, May 9, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiduri sumbang PPE kepada EMAS

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Sebanyak 1,000 peralatan perlindungan peribadi (PPE) berupa pakaian Jupiter dan 600 pelindung muka disumbangkan oleh Bank Baiduri kepada Perkhidmatan Ambulans Perubatan Kecemasan (EMAS), kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Bank Baiduri, sumbangan berkenaan adalah sebagai sebahagian daripada respons terhadap wabak COVID-19 di negara ini selain menyokong paramedik EMAS dalam rutin harian mereka yang mencabar terutama semasa pandemik ini.

    Di samping PPE, bank berkenaan juga menyediakan minuman paket dan makanan ringan kepada petugas paramedik semasa dalam perjalanan untuk mengalas perut semasa waktu rehat.

    Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Ibu Pejabat EMAS di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) di mana sumbangan disampaikan oleh Ketua Perbendaharaan Kumpulan dan Perbankan Institusi Bank Baiduri, Awangku Nor Muhammad Nizam bin Pengiran Haji Tengah sebagai wakil pengurusan Bank Baiduri.

    Sumbangan tersebut diserahkan kepada Ketua EMAS, Hajah Nora binti Haji Mohd Yusof dan turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus Komunikasi Korporat, Bank Baiduri, Rusydina Junaidi.

    Awangku Nor Muhammad Nizam berkata, “Pandemik ini telah menekankan perlunya penjagaan kesihatan dan respons yang cepat, dan kami telah mengambil inisiatif untuk membantu paramedik ini dalam masa mencabar ini.

    “Paramedik sering bekerja sepanjang waktu untuk membawa mereka yang memerlukan perhatian perubatan, jadi kami berharap sumbangan PPE ini akan membantu mereka menjalankan tugas mereka,” tambah beliau.

    PPE yang disumbangkan Bank Baiduri bagi kegunaan petugas EMAS. – Gambar serahan Bank Baiduri
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda