Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Bank Baiduri, sekali lagi akan menjadi rakan kongsi bank rasmi bagi Pesta Pelancongan Sabre Brunei 2024.
Pesta pelancongan yang dinanti-nantikan akan berlangsung pada 5 dan 6 Oktober di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Sehubungan itu, penyertaan bank berkenaan di pesta itu akan menawarkan pelbagai faedah eksklusif untuk penggemar perjalanan, dengan kerjasama Sabre Travel Network, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) dan pelbagai agensi pelancongan.
Pada pesta yang berlangsung selama dua hari itu, bank berkenaan akan ditempatkan di petak 20 di mana pengunjung boleh memohon pelbagai kad Bank Baiduri, termasuk Kad Visa RB.
Sementara bagi pemohon baharu untuk Kad Kredit RB Visa Infinite atau Kad Kredit RB Visa Platinum akan menerima pengecualian yuran tahunan selama empat tahun, bersama-sama dengan 3,000 batu Royal Skies sebagai hadiah pendaftaran untuk pelanggan baharu dan 1,000 batu Royal Skies untuk baki pemindahan.
Manakala bagi yang memohon Kad Debit Platinum RB, pengecualian yuran tahunan selama empat tahun juga disediakan.
Selain itu, pemohon kad kredit dan debit Visa dan Mastercard akan menikmati pengecualian yuran tahunan selama tiga tahun.
Bagi pelanggan yang membuat pembelian di pesta itu, Bank Baiduri menawarkan beberapa ganjaran yang menarik.
Manakala bagi pengunjung pesta yang membelanjakan sekurang-kurangnya $500 dalam satu resit menggunakan kad kredit atau debit Baiduri akan berpeluang untuk menyertai Cabutan Bertuah Segera melalui Pusing Roda di petak Baiduri, dengan hadiah termasuk pulangan tunai, barangan, aksesori gaya hidup dan baucar.
Manakala bagi pemegang kad Baiduri juga akan menerima tiga penyertaan cabutan bertuah Sabre Brunei apabila membuat pembayaran di pesta itu, di mana bank berkenaan akan memberikan lebih banyak peluang untuk menang.