Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JUN – Bank Baiduri telah menerima penghormatan menerusi Anugerah Leadership in Commercial Volume-Brunei oleh Mastercard yang mengesahkan kedudukannya sebagai rakan kongsi utama dalam pendigitalan perbelanjaan komersial di Brunei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Baiduri, di sini, menyatakan anugerah berkenaan telah disampaikan pada Forum Pelanggan Mastercard Malaysia 2025 yang berlangsung di Mandarin Oriental, Bangkok pada 21 hingga 23 Mei lalu.
Forum berkenaan menghimpunkan institusi-institusi kewangan dari serata rantau untuk meraikan kepimpinan dan inovasi dalam ruang pembayaran digital.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Pasaran, Asia Pasifik, Yunsok Chang kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna, Bank Baiduri, Manuel Bulens.
Anugerah Mastercard Leadership in Commercial Volume berkenaan disampaikan setiap tahun kepada institusi kewangan yang mempamerkan prestasi cemerlang dalam jumlah pembayaran komersial.
Penganugerahan tersebut membuktikan komitmen Bank Baiduri dalam memajukan penyelesaian pembayaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) menerusi kad pembelian, kad maya dan tawaran pembayaran komersial yang lain.
Mengulas mengenai penganugerahan berkenaan, Manuel Bulens merakamkan penghargaannya dengan menyatakan anugerah tersebut mencerminkan kerjasama kukuh yang dibina dengan klien serta komitmen berterusan dalam memodenkan pembayaran komersial di Brunei selain mengiktiraf dedikasi pasukan di sebalik inisiatif kad mereka.
“Dengan menerima inovasi dan mengutamakan keperluan pelanggan, kami membolehkan perniagaan beroperasi dengan lebih cekap dan yakin dalam landskap digital yang terus berkembang,” ujarnya.
Pada tahun ini, Forum Pelanggan Mastercard Malaysia membawa tema Evolution to the Next Wave, yang menggalakkan rakan kongsi industri untuk berkongsi pengetahuan, mencetuskan inovasi dan memupuk kolaborasi dalam mengemudi bab seterusnya dalam perdagangan digital.
