Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Pengajaran yang boleh diambil daripada wabak COVID-19 yang melanda dunia termasuk Negara Brunei Darussalam adalah keperluan kesepaduan dan kerjasama.
Merendah diri seharusnya menjadi pendekatan penggerak untuk menghasilkan dasar “Kesepaduan, kesepakatan dalam pembangunan negara” yang merupakan peringatan daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38.
“Marilah kita menggunakan reset; pandemic untuk meletakkan negara kita sebagai ekonomi inklusif dengan tujuan sosial untuk generasi yang akan datang,” ujar ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii dalam ucapan menjunjung kasih semasa persidangan MMN, hari ini.
Menyentuh mengenai sosial untuk generasi akan datang, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi mencadangkan supaya industri pekerja dibaik pulih sepenuhnya bagi membolehkan keadilan.
Menurut beliau, perlindungan dan kemapanan industri pekerja bukan mengira pekerja tempatan atau pekerja asing, pekerjaan tetap atau tidak formal, tetapi untuk membolehkan keadilan dalam pasaran industri pekerja untuk kedua-dua majikan dan pekerja boleh ditentukan oleh pelbagai faktor utama iaitu kesesuaian dengan perubahan pasaran pekerja dan ekonomi keluar dari pandemik.
Selain itu, penambahbaikan dalam perundangan industri pekerja yang meliputi semua kerja bergaji (tidak kira negara asal), pastikan latihan minimum atau pembelajaran sepanjang hayat dibina dalam rangka kerja industri pekerja, meningkatkan proses pentadbiran digital yang menyeluruh dan menguatkuasakan sistem arbitration yang adil antara kedua-dua majikan dan pekerja sekiranya berlaku masalah dalam perundingan.
Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi juga menyeru kepada jentera kerajaan untuk mempertingkatkan pengemaskinian polisi yang outdated dan mengubahsuai kepada keadaan semasa, dengan memberi kesedaran kaedah perusahaan dan sumber tenaga dari segi profesional dan pekerjaan.
