Monday, February 24, 2025
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baiki televisyen sendiri di Hobbyzone

    Oleh Sakini Mohd Said

     

    KAJANG – Jarum jam sudah melewati hampir pukul 12 tengah malam dan suasana sepi menyelubungi kawasan perumahan dan rumah kedai sekitar Jalan Reko Mutiara berhampiran Pusat Hentian Kajang.

    Agak gelap keadaan sekitar membuatkan penulis mempercepatkan langkah menuju ke sebuah kedai, satu-satunya yang masih beroperasi dan terletak berhampiran surau Reko Mutiara. Penulis mempunyai janji temu dengan pemilik kedai itu yang hanya boleh diwawancara selepas tengah malam.

    Semasa penulis menghampiri tangga untuk ke kedai berkenaan yang terletak di tingkat dua, kelihatan beberapa orang lelaki berulang-alik mengangkat televisyen paparan hablur cecair (LCD) dari kawasan tempat letak kereta untuk dibawa naik ke tingkat atas. Jangan salah anggap kerana mereka itu bukanlah ‘pencuri’ tetapi masing-masing mempunyai ‘misi khas’ yang hanya boleh dilaksanakan pada malam hari.

    “Mereka datang untuk membaiki televisyen. Menariknya, bukan juruelektrik kedai ini yang baiki tetapi pelanggan sendiri yang melakukannya, termasuklah saya. Sesiapa ada masalah kerosakan televisyen bolehlah datang ke kedai ini tetapi ia dibuka waktu malam sahaja,” kata Rosli Abdul Aziz, 55, kepada Bernama.

    Hobbyzone

    Ketika menunggu masa untuk menemu bual pemilik kedai itu, penulis leka memerhatikan Rosli mengikis sesuatu yang melekat pada lapisan ‘polarizer’ televisyen LCD berukuran 42 inci itu. Beliau menggunakan pisau kecil. Kalau hendak diikutkan, bapa kepada dua orang anak ini bukanlah seorang yang mahir membaiki peralatan elektronik apatah lagi televisyen.

    Arif Ridzuan, membaiki komponen pada papan litar televisyen LCD yang rosak di bengkel Hobbyzone. – Bernama

    Kebiasaannya, beliau akan membawa barangan elektrik yang rosak ke mana-mana kedai membaiki perkakas berkenaan dan sekiranya kos membaiki mahal, Rosli lebih cenderung membeli sahaja yang baru.

    Bagaimanapun, semuanya berubah sebaik sahaja anak kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang ini mengetahui tentang ‘Hobbyzone’, bengkel membaiki peralatan elektrik berkonsepkan D.I.Y. (Do It Yourself atau buat sendiri) sejak setahun lepas.

    “Ramai termasuk saya tidak tahu monitor televisyen tidak boleh dilap dengan kain lembapan air kerana ia akan menjejaskan lapisan ‘polarizer’ dan menyebabkan pembentukan kulat yang memberi kesan pada kualiti gambar. Paling teruk, tak ada gambar langsung, gelap sahaja.

    “Kebiasaannya bagi yang menghadapi masalah se-perti ini, juruelektrik akan bagi alasan televisyen sudah rosak dan kena beli yang baru berikutan agak remeh membaikinya.

    “Manakala yang sanggup membaiki, harganya pula mencecah ratusan ringgit disebabkan perlu mengikis kulat pada lapisan ‘polarizer’ televisyen dengan penuh berhati-hati dan perlahan,” kata Rosli, bekas pesara Bank Negara.

    Walhal, keadaannya jauh berbeza jika barangan rosak ini dibawa ke premis Hobbyzone kerana kos membaiki masalah lapisan ‘polarizer’ hanya RM90 (bergantung kepada saiz televisyen) tetapi pelanggan perlu melakukannya sendiri. “Di kedai ini saya diajar untuk mengenalpasti kerosakan televisyen dan cara membaiki sendiri. Tidak perlu risau kerana teknik pengajaran sangat mudah difahami dan tenaga pengajar akan sentiasa memantau kerja kita,” katanya.

    Perempuan juga minat

    Menariknya, bengkel Hobbyzone ini bukan sahaja didatangi pelanggan lelaki bahkan golongan wanita turut tidak terkecuali. Ada yang datang dengan suami mereka, ada yang bertemankan kawan manakala ada yang membawa ibu mereka ke premis itu. Baizura Basri, 23, yang datang ke bengkel D.I.Y. ini buat pertama kali bersama suaminya agak teruja dengan konsep Hobbyzone dan turut berminat untuk mencuba membaiki kerosakan televisyen mereka.

    “Televisyen kami rosak dan langsung tak ada gambar. Mula-mula ingat hendak beli baharu tetapi suami ajak cuba datang ke sini dahulu. Risau juga kerana tidak pernah membaiki televisyen dan ingat biarlah suami sahaja belajar buat. “Tetapi, apabila tengok cara mereka ajar satu persatu dan macam menarik, saya jadi minat hendak baiki televisyen sendiri,” katanya.

    Ditubuhkan pada tahun 2014, Hobbyzone diusahakan oleh Mohd Husin Mohd Azman, 46, bersama isterinya Dr. Zulistiana Zulkifli, 41, bagi membantu pelanggan yang mempunyai barangan elektrik dan elektronik rosak untuk dibaiki pada kos rendah.

    Mereka hanya mengenakan caj RM50 bagi penggunaan ruang kerja termasuk peralatan yang diperlukan manakala bayaran tambahan bergantung kepada kos alat ganti yang perlu ditukar. Menariknya, paling tinggi bayaran dicaj pun hanya RM200 dan itu pun disebabkan kerosakan teruk yang memerlukan penukaran komponen alat ganti agak banyak.

    “Ramai tertanya-tanya mengapa kami boleh mengenakan harga murah membaiki televisyen berbanding kedai. Sebenarnya, kos profesional juruelektrik yang mahal bukannya alat ganti.

    Mohd Husin Mohd Azman, mengajar pelanggannya cara membaiki televisyen LCD yang rosak. – Bernama
    Dr. Zulistiana Zulkifli, (kanan) mengajar pelanggannya cara membaiki televisyen paparan hablur cecair (LCD) yang rosak di Hobbyzone yang terletak di Jalan Reko Mutiara. – Bernama

    “Mereka boleh mengenakan bayaran tinggi kerana pengguna tiada kepakaran membaiki barangan elektrik, bayar sewa kedai dan gaji pekerja.

    “Selain teknik membaiki televisyen, memerlukan seseorang itu sangat berhati-hati mengendalikannya sedangkan ia bukanlah susah untuk dibaiki,” kata Mohd Husin yang lebih dikenali sebagai ‘Cikgu Husin’.

    Bagaimana mula?

    Cikgu Husin memberi contoh kerosakan televisyen LCD yang langsung tidak memancarkan gambar bergerak sebaik ia dihidupkan dan ia disebabkan lampu di dalamnya sudah terbakar. “Kalau di kedai, kerosakan sebegini boleh dikenakan caj ratusan ringgit dan ada mencecah RM1,000 kerana kepakaran mereka sedangkan jika bawa televisyen ke sini, kami ajar mereka mengenalpasti kerosakan dan biasanya masalah seperti ini hanya perlu menukar mentol.

    “Contohnya, kalau tukar dua biji lampu RM20, campur dengan kos penggunaan ruang kerja RM50, pelanggan hanya perlu bayar RM70 sahaja. Cuma, mereka kena ada minat, kesabaran dan kesungguhan untuk belajar membaiki televisyen sendiri.

    “Di sini, apa sahaja kerosakan televisyen boleh dibaiki tetapi tidak pada monitor yang pecah. Selalunya saya akan suruh pelanggan mesej dahulu kerosakan dan sekiranya monitor, saya nasihatkan lebih baik beli baru sahaja kerana harga alat ganti itu sangat mahal,” jelasnya.

    Berpengalaman lebih 23 tahun dalam bidang ini, Cikgu Husin berkata idea penubuhan Hobbyzone bermula apabila beliau sedang mencari pekerja bagi membantunya membaiki televisyen hotel. Bagaimanapun, beliau sama sekali tidak menyangka pendekatan sebegini mendapat sambutan sangat memberangsangkan.

    “Pada tahun 2014, saya mendapat tender hotel untuk membaiki televisyen sebanyak 800 buah. Kami cuba buat konsep D.I.Y. dan tidak sangka ia begitu mendapat sambutan dan minta kami teruskan sehingga ke hari ini. “Pelanggan atau anak didik kami bukan sahaja di sekitar kawasan ini tetapi ada juga dari Johor, Kedah, Ipoh dan Kelantan. Mereka ada minta saya buka Hobbyzone di luar Kuala Lumpur tetapi setakat ini kami belum berkemampuan. “Ini kerana untuk membuka sesuatu bengkel ia memerlukan peralatan yang mencukupi selain tenaga pekerja sekurang-kurangnya lima orang bagi melancarkan proses pengajaran orang ramai,” katanya.

    Berkongsi ilmu

    Bengkel Hobbyzone beroperasi pada waktu malam sahaja iaitu bermula pukul 9 malam hingga 5 pagi setiap hari. Ini bagi memberi ruang kepada mereka yang bekerja di siang hari untuk menambah ilmu kemahiran selain boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan. Kini selepas tiga tahun lebih beroperasi, Cikgu Husin gembira dengan pencapaian Hobbyzone apabila ramai anak didiknya yang berjaya menjadikan kemahiran ini sebagai pekerjaan utama mereka atau sambilan.

    “Ramai bertanya mengapa saya boleh menampilkan konsep sebegini tanpa risau kemungkinan ia menjejaskan sumber pencarian. Bagi saya, ilmu perlu dikongsi. Lagi banyak kita kongsi, rezeki akan bertambah.

    “Selain membantu mereka berjimat dan mencari pendapatan tambahan, konsep sebegini juga membantu mengurangkan pelupusan televisyen kerana kebanyakannya masih boleh dibaiki kecuali kalau monitor pecah,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda