Personaliti media sosial Aisar Khaled, menyediakan wang tunai RM100,000 bagi membantu 100 individu bertuah melunaskan hutang mereka.
Aisar, 23, berkata dia ikhlas membantu pengikut media sosialnya yang sedang berdepan masalah hutang kerana menganggap mereka seperti sebuah keluarga.
Kata Aisar lagi, pemilihan 100 individu tersebut akan dibuat berdasarkan sebab-sebab munasabah yang dinyatakan di ruang komen Instagram miliknya.
“Saya buat keputusan untuk memberikan RM1,000 kepada 100 pengikut bertuah yang memerlukan wang bagi melangsaikan hutang mereka.
“Apa yang penting, niat saya ikhlas dan menganggap pengikut di media sosial sebahagian daripada keluarga.
“Kami akan pilih mereka yang berhak menerima wang tunai itu berdasarkan komen di media sosial selain meminta mereka mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan mereka benar-benar memerlukan,” katanya ketika dihubungi mStar hari ini.
Mengulas mengenai segelintir pihak kurang senang dengan tindakannya itu, Aisar memberitahu dia mempunyai alasan tersendiri dan tidak semua perkara dilakukan perlu dikongsi secara umum.
“Saya tidak mahu ambil pusing dengan komen warganet. Saya buat ini semua atas kehendak saya sendiri.
“Saya juga ada melakukan infaq dan sedekah yang tidak saya tunjukkan di media sosial. Apa yang saya kongsi ini hanya separuh sahaja dalam kehidupan saya.
“Saya ada juga bersedekah yang ramai lagi tidak tahu. Ada benda yang saya buat tetapi saya tidak kongsi kepada semua,” ujarnya. – Agensi