Pelakon dan usahawan terkenal Indonesia, Baim Wong, berjaya memperoleh hak penjagaan penuh ke atas anak hasil perkahwinannya dengan model dan pelakon Indoensia, Paula Verhoeven selepas Mahkamah Tinggi Agama Jakarta memutuskan demikian dalam keputusan rayuan yang diumumkan baru-baru ini.
Menurut peguam mewakili Baim Wong, Fahmi Bachmid, keputusan mahkamah tersebut sekali gus membatalkan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Agama Jakarta Selatan yang sebelum ini menetapkan pengasuhan anak dibahagikan secara bergilir iaitu dua minggu bersama bapa dan dua minggu bersama ibu.
“Dalam keputusan terkini, hak asuh anak secara keseluruhan diberikan kepada Baim Wong.
“Mahkamah menilai hanya dia yang layak untuk mendapatkan hak penjagaan penuh atas anak tersebut,” jelasnya ketika ditemui media di Jakarta, baru-baru ini.
Jelasnya lagi, keputusan itu dibuat selepas pihaknya turut mengemukakan rayuan balas sejurus mengetahui pihak Paula Verhoeven turut memfailkan rayuan terhadap keputusan terdahulu.
“Sebaik Paula mengemukakan rayuan, saya terus diarahkan oleh Baim untuk turut mengemukakan rayuan. Kata Baim, ‘Bang, kalau dia rayu, Abang pun kena rayu’,” katanya.
Tambah Fahmi, pada peringkat awal, Baim Wong sebenarnya telah mencadangkan satu penyelesaian yang adil iaitu pembahagian masa penjagaan anak secara bergilir dua minggu seorang.
Cadangan itu menurutnya bersifat fleksibel dan mampu memuaskan hati kedua-dua pihak.
Namun, menurut Fahmi lagi, sikap bekas isteri Baim itu yang memilih untuk meneruskan tindakan undang-undang dan turut melaporkan beberapa individu lain menyebabkan mahkamah akhirnya membuat keputusan memberikan hak asuh sepenuhnya kepada Baim Wong.
