Pelakon asal Indonesia iaitu Baim Wong mendedahkan sikap curang isterinya iaitu Paula Verhoeven menjadi punca dia memfailkan cerai, lapor mStar.
Kata Baim, 43, sudah lebih setahun dia cuba pertahankan rumah tangganya itu namun tidak berhasil.
“Sebenarnya saya berada dalam keadaan yang sangat sulit. Saya dikhianati dua orang terdekat. Lelaki itu rakan baik saya sendiri.
“Saya sendiri juga tidak percaya. Selama ini saya bertahan selama setahun kerana anak-anak,” katanya dalam satu sidang media.
Baim sebelum ini mengesahkan dia telah membuat permohonan cerai terhadap Paula pada Isnin di Mahkamah Agama Jakarta Selatan, Indonesia.
Kenyataan itu sekali gus menjawab persoalan tentang spekulasi keretakan rumah tangga mereka yang selama ini menjadi bualan ramai.
Tambah Baim dia juga tidak mahu lagi menyimpan dendam terhadap isteri dan rakannya itu meskipun tahu akan hubungan sulit mereka.
“Selepas kejadian itu saya sudah maafkan dengan cara saya.
“Saya juga berdoa mudah-mudahan mendapat hidayah dan diberi jalan yang benar. Saya tidak mahu ada dendam,” ujarnya.
Dalam masa sama Baim mengesahkan sudah tujuh bulan tinggal berasingan dengan Paula. – Agensi