Di sebalik imejnya yang sentiasa ceria, pelakon Indonesia, Baim Wong menyimpan pengalaman penuh tekanan ketika mula menceburi dunia produksi filem.
Memetik laporan mStar, Baim atau Muhammad Ibrahim, 44, mendedahkan kisah sedih yang jarang diketahui peminat, terutamanya ketika memegang tanggungjawab sebagai seorang penerbit.
Menurutnya, industri filem bukan sekadar glamor seperti yang disangka ramai, sebaliknya risiko yang perlu ditanggung sekiranya tidak laku di pawagam.
“Filem itu seperti bermain judi,” katanya.

Baim berkongsi perkara itu dalam satu sesi podcast bersama Raditya Dika.
Aktor itu turut mengimbau detik paling mencemaskan dalam kerjayanya sebagai pengarah apabila filem sulung terbitannya mencatatkan kejatuhan jumlah penonton secara mendadak pada hari ketiga tayangan.
Situasi itu menyebabkan Baim sukar tidur dan menghadapi tekanan emosi yang luar biasa iaitu sesuatu yang tidak pernah dialaminya sebelum ini.
Beban yang ditanggung begitu berat sehingga Baim mengaku menangis ketika menunaikan solat akibat tertekan dengan masalah yang dihadapi. – Agensi

