Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Bajet 2023: Sabah, Sarawak terus raih manfaat besar

    KUALA LUMPUR, 7 OKT – Sabah dan Sarawak akan terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion dalam Bajet 2023.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini berkata peruntukan itu antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan. 

    Melalui bajet bertema ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ itu, beliau berkata lima wilayah koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding RM690 juta pada tahun ini.

    “Tahun depan, program utama yang dilaksanakan termasuklah Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta dan Program Pembangunan Modal Insan di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) antaranya bagi meningkatkan prestasi akademik anak-anak B40 dengan peruntukan RM63 juta.

    “Turut dilaksanakan projek Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dengan peruntukan RM80 juta, projek Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah dengan peruntukan RM250 juta dan projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak dengan peruntukan RM100 juta,” katanya.

    Tengku Zafrul juga berkata kerajaan merancang untuk membangunkan bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam (Kedah), Kalabakan (Sabah) serta Tebedu dan Ba’kelalan (Sarawak) dengan kos RM150 juta. 

    “Kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris, Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu, Sarawak ke sempadan Indonesia,” katanya. – Bernama

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...