Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baju adat Indonesia meriahkan suasana perhimpunan HK40

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Rakyat Indonesia di Negara Brunei Darussalam yang diwakili Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) dengan kerjasama Persatuan Masyarakat Indonesia (PERMAI) tidak ketinggalan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40) dengan menyertai perbarisan lalu semasa upacara perhimpunan agung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, kelmarin.

    Semasa perbarisan itu, ma-syarakat Indonesia yang diwakili 70 orang peserta dilihat memakai pakaian tradisional mewakili pelbagai wilayah di Indonesia, dengan 29 di antara mereka memakai baju adat dari daerah-daerah di Indonesia.

    Turut menyaksikan perbarisan berkenaan ialah ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam, termasuk Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Achmad Ubaedillah.

    Peserta dari Indonesia menyatakan kegembiraan mereka kerana dapat menyertai upacara perbarisan pada tahun ini sekali gus mempamerkan pakaian tradisi Indonesia.

    TYT Achmad turut melahirkan rasa bangga terhadap masyarakat Indonesia yang setiap tahun memeriahkan perbarisan lalu Hari Kebangsaan serta mempamerkan kekayaan budaya Indonesia khususnya pakaian tradisi pelbagai bentuk dan warna.

    Ini merupakan kali pertama beliau menyaksikan acara yang penuh gemilang dan warna, menunjukkan latar belakang negara serta budaya yang sangat kaya dengan tradisi.

    Keterlibatan rakyat Indonesia pada perbarisan berkenaan, adalah antara salah satu komitmen dan sokongan dalam memeriahkan lagi upacara perbarisan sempena HK-40.

    TYT Achmad bergambar bersama peserta yang memakai baju adat dari daerah-daerah di Indonesia. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda