Thursday, February 6, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baju berjenama S$1,600 disamakan dengan seragam restoran

    KUALA LUMPUR, 20 JUN – Penduduk Malaysia menggunakan media sosial untuk mempersendakan baju berjenama bernilai S$1,600 yang menyerupai pakaian seragam pekerja sebuah rangkaian restoran nasi kandar.

    Menurut laporan ANN/The Straits Times, seorang pengguna media sosial, Afif Sukhairi memuat naik video berdurasi 11 saat di TikTok, yang menunjukkan patung di sebuah butik Versace di Kuala Lumpur berpakaian kemeja biru lengan pendek dengan reka bentuk emas.

    Versace adalah syarikat jenama pakaian ternama yang diasaskan oleh Gianni Versace pada 1978 dan terkenal dengan rekaan menyerlah dan warna terang.

    “Sesiapa yang ingin mendapatkan baju dari Nasi Kandar Pelita, awda boleh dapatkannya di Versace,” kata Afif secara berjenaka dalam video tersebut, yang merujuk kepada pakaian seragam rangkaian restoran nasi kandar terbesar di Malaysia.

    Baju seragam restoran itu yang berwarna biru dan rekaan kuning dikatakan hampir serupa dengan baju Versace, meskipun coraknya berbeza.

    Semakan dari laman sesawang Versace menunjukkan baju itu dipanggil ‘baju sutera Barocco 660’ dan datang dengan pelbagai saiz serta kombinasi dua warna iaitu biru dan keemasan, dan coklat dan keemasan.

    Penduduk Malaysia merasakan hantaran di media sosial itu sebagai menghiburkan, dan menyatakan sesiapa yang membeli baju berjenama tersebut tidak sepatutnya makan di restoran itu kerana takut disalah anggap sebagai kakitangan restoran.

    “Datang ke Nasi Kandar Pelita untuk bergaya, tetapi awda mungkin terpaksa ‘bekerja separuh masa’,” komen seorang pengguna media sosial. – ANN/The Straits Times

    Baju berjenama bernilai S$1,600 yang menyerupai pakaian seragam pekerja sebuah rangkaian restoran nasi kandar menjadi bualan di media sosial. – Foto Afifsukhairi/TikTok
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda