Friday, February 21, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Baju nikah Saleha rekaan suaminya sendiri

    Busana putih digayakan pelakon Siti Saleha ketika majlis pernikahannya pada 15 Februari lalu rupanya adalah hasil rekaan suaminya yang juga pereka fesyen iaitu Joshua Fitton.

    Menurut mStar, Siti Saleha Mohd Baharum, 35, memberitahu rekaan tersebut mengambil pelbagai inspirasi yang juga menepati jenama milik Joshua iaitu Atelier Fitton.

    Apa lebih menarik, pakaian itu menggabungkan beberapa rekaan tradisional dan moden menggunakan benang sutera.

    “Suami saya yang mereka baju pernikahan kami.

    “Diperbuat daripada tenunan benang sutera, pakaian saya merupakan gabungan baju kurung, baju Melayu dan kemeja klasik yang cukup dikenali dengan jenama Atelier Fitton.

    Cantik Saleha mengenakan busana berwarna putih di hari penikahan. – mStar

    “Untuk kain pula, pario yang diperbuat daripada sutera Thailand,” katanya.

    Saleha berkongsi perkara tersebut di laman Instagram miliknya pada Selesa sebagai tanda penghargaan buat suami atas rekaan tersebut.

    Bercerita lanjut, baju Melayu yang dipakai oleh Joshua pula merupakan inspirasi pakaian lelaki masyarakat Jawa.

    “Bajunya pula adalah interpretasi pakaian tradisional Jawa diperbuat daripada sutera dan digandingkan dengan samping yang juga menggunakan sutera sama seperti kain saya.

    “Terima kasih suamiku, saya cinta kamu,” luahnya.

    Pasangan itu bernikah pada 15 Februari lalu bertempat di Janda Baik, Pahang.

    Itu merupakan perkahwinan kedua buat Saleha selepas bercerai dengan Ahmad Lutfi Azhar pada Januari 2022. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda