MUADZAM SHAH – Luasnya nun saujana mata memandang. Kehijauan dan kesuburan rumput napier yang ditanam di sekeliling tanah seluas 240 hektar itu menyejukkan mata.
Ada pagar putih yang dibina bermula dari simpang masuknya di tepi jalan Rompin-Muadzam Shah sehingga ke pintu masuk utama Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) itu. Binaan pagar yang memisahkan tanah berumput dengan bangunan penyelidikan dan ternakan lembu itu menjadikan pemandangannya lebih cantik dan nyaman biarpun terik matahari membahang di atas kepala.
Kawasan itu adalah sebahagian daripada 1,000 hektar tanah penyelidikan Mardi. Ia menempatkan sebuah kompleks tenusu, sebuah padang rumput ternakan serta sebuah pusat latihan berkaitan industri tenusu untuk komuniti usahawan tempatan dan para pelajar.
Berhampiran kompleks tenusu itu terdapat projek tanaman nanas seluas 2,023.4 hektar (5,000 ekar) yang khusus kepada penanaman dan eksport nanas. Kewujudannya menambahkan lagi kehijauan kawasan persekitaran terutamanya bagi tatapan pengunjung yang hadir ke situ ataupun mereka yang melalui jalan Rompin-Muadzam Shah.
Bagaimanapun atas faktor-faktor keselamatan dan kesihatan haiwan ruminan itu, MSCRIC tidak dibuka untuk kunjungan orang ramai. Mereka hanya dibenarkan berada di sepanjang jalan yang berpagar putih itu sahaja. Namun, bagi yang ingin mengabadikan keindahan lokasi itu atau berangan-angan seperti berada di padang tenusu di luar negara, lokasi yang dibenarkan itu sudah memadai dan memuaskan hati.

Baka sesuai iklim tropika
MSCRIC telah dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Ia melantik The Holstein Milk Company sebagai syarikat induk pada November 2014 untuk mengendali dan menguruskan kompleks tenusu berkenaan.
Sebagai syarikat induk, Holstein bertanggungjawab menerajui perkembangan industri tenusu tempatan di MSCRIC di seluruh rantaian nilai pengeluaran susu, iaitu bermula daripada menternak lembu, memproses susu sehinggalah kepada memasarkan susu di pasaran tempatan. Di kompleks berkenaan, para petugas Holstein memulai kerja mereka seawal pukul 5.00 pagi. Setiap hari lembu-lembu itu akan dikumpulkan, diberi makan dan dimandikan. Kemudiannya apabila pintu kandang mandian dibuka, seekor demi seekor akan bergerak menuju ke arah ‘milking parlour’.
Kagum juga penulis melihat seekor demi seekor haiwan ternakan itu bergerak ‘masuk barisan’ dan terus berjalan hingga ke tempat perahan susu. Bukan main berdisiplin lembu-lembu berkenaan dengan rutin itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Holstein, Azmi Zainal syarikatnya terbabit dengan aktiviti pembakaan, penternakan lembu tenusu, pemprosesan, pengeluaran dan pemasaran produk tenusu di bawah jenama Farm Fresh.
Pada awalnya dahulu, Holstein telah membawa masuk 220 ekor lembu betina bunting baka Australian Fresian Sahiwal (AFS) yang diimport dari Australia. Ia mengeluarkan susu sebanyak 100,000 liter sebulan.
Kini MSCRIC memiliki 1,703 ekor lembu tenusu baka Australian Ferisian Sahiwal (AFS) iaitu kacukan baka Ferisian dan baka lembu tenusu Sahiwal dari Pakistan dengan jumlah pengeluaran susu dihasilkan daripada 584 ekor lembu. Jumlah itu berjaya menghasilkan susu segar kira-kira 2.56 juta liter setahun.
“Banyak cabarannya sebab lembu-lembu yang dibawa masuk itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca Malaysia. Baka tulen dari luar negara kurang tahap ketahanan terhadap tahap cuaca panas dan lembap serta parasit (kutu babi) di negara ini.
Biasanya selepas dua tahun lembu yang diimport ini tidak lagi mampu menghasilkan susu atau sudah menyusut tahap kesuburannya,” jelas Azmi.
Disebabkan itu, Holstein telah cuba membiakkan lembu-lembu tenusu baka tropika. Menerusi R&D yang dijalankan, anak lembu-lembu import yang dilahirkan di sini akan dipelihara sehingga sampai tempoh ia menjadi dara.
Kira-kira usianya mencecah satu setengah tahun ia sesuai untuk dibuntingkan. Lembu dara yang telah sampai tahap subur itu akan disuntik dengan benih AFS. Justeru, menurut Azmi generasi kedua lembu tenusu yang ada kini adalah yang lasak cuaca tropika.
“Kita dah ada generasi kedua dari sini, supaya ladang ini nanti akan dipenuhi oleh AFS. Kalau lihat baka yang asal warnanya adalah hitam putih. Yang kulitnya satu warna itu adalah AFS,” jelas Azmi ketika menunjukkan satu daripada kandang yang menempatkan 200 ekor lembu bunting.

Apabila usia kandungan sudah mencecah tujuh bulan, lembu-lembu berkenaan akan dipindahkan ke kandang lain yang berlantaikan pasir, lebih lembut untuk keselesaan lembu-lembu itu.
Asingkan kandang
Azmi turut menunjukkan lebih 100 ekor anak lembu baka tropika yang baru dilahirkan. Sebaik sahaja ia dilahirkan, anak lembu ini akan diasingkan daripada induknya. Dalam tempoh dua minggu ia akan dijaga sepenuhnya terutamanya ketika menyusu botol. Anak lembu itu akan diberi kolestrum (susu awal lembu) bagi menguatkan daya tahan tubuhnya. Ia memerlukan kira-kira dua minggu untuk mahir minum sendiri dari botol susu tanpa perlu dipegang. Selepas empat bulan, ia dipindahkan ke kandang lembu dara. Manakala ibu lembu pula akan ditempatkan di kandang bersama lembu tenusu yang lain.
Bagi menghasilkan lembu yang bunting betina, pihaknya kini menggunakan kaedah suntikan ‘sexing siemen’. Kaedah itu berjaya menghasilkan 90 peratus lembu yang bunting betina.
Bagi lembu dara, kadar ia bunting adalah 90 peratus. Tapi bagi proses kehamilan kali kedua, ketiga dan mungkin keempat, kadar kesuburannya sedikit berkurangan.
Selain baka baharu, Holstein turut menggunakan kaedah ibu tumpang yang disuntik dengan embrio yang telah berusia 25 tahun. Menurutnya, kaedah itu juga berjaya menghasilkan baka yang elok hasil penyelidikan mereka.
Namun Azmi tidak menafikan masih ada yang bunting anak jantan. Kelak anak lembu itu akan diasingkan sebagai lembu pedaging.
Susu segar buat rakyat Malaysia
Industri tenusu tempatan ketika ini bergantung kepada bekalan susu import dianggarkan bernilai RM3.24 billion setahun. Bekalan susu tempatan hanya mampu memenuhi 5 peratus permintaan dalam negara. Malaysia memerlukan 1.4 bilion liter susu setahun dan 94.4 peratus daripada jumlah ini perlu diimport dari Australia, New Zealand, dan beberapa negara lain.
Permintaan domestik dijangka meningkat 3.2 peratus setahun dan akan mencapai jumlah 1.9 bilion liter dalam masa empat tahun. Buat masa ini susu yang diperoleh di Holstein dihantar untuk pemprosesan di kilang di Larkin, Johor. Dalam tempoh 48 jam, susu berkenaan telah sedia untuk dihantar ke kedai dan pasar raya.
Bagaimanapun Azmi menyatakan bahawa tempoh masa itu dapat dikurangkan kepada 24 jam apabila Perdana Menteri mengumumkan pembinaan kilang tenusu di Muadzam sendiri. Ia dijangka beroperasi September ini dan boleh mengurangkan tempoh kepada 24 jam.
Kilang Pemprosesan Tenusu baharu itu bakal meningkatkan pengeluaran MSCRIC sebanyak dua kali ganda kepada 5.36 juta liter setahun, iaitu bersamaan 9 peratus daripada jumlah pengeluaran susu domestik di Semenanjung Malaysia. Ia adalah jumlah pengeluaran yang tinggi berbanding purata 100,000 liter susu segar setahun bagi ladang-ladang di Malaysia. – Bernama