BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang akan berlangsung pada 31 Oktober hingga 1 November ini di Gyeongju, Republik Korea.
Republik Korea adalah tuan rumah bagi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bagi tahun 2025, dengan membawa tema Membina Masa Depan Yang Mampan: Berhubung, Berinovasi, Kemakmuran.
Mesyuarat AELM merupakan acara kemuncak bagi Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) dan menandakan penutup kepada tempoh penganjuran Republik Korea selaku tuan rumah APEC.
APEC ditubuhkan pada tahun 1989 dengan matlamat untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memperkukuh integrasi ekonomi di rantau Asia-Pasifik.
Melalui kerjasama erat antara ekonomi-ekonomi serantau, APEC berusaha untuk mewujudkan persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tidak mendiskriminasi, telus dan boleh diramal.
APEC pada awalnya dianggotai oleh 12 ekonomi pengasas dan kini telah berkembang kepada 21 ekonomi di rantau Asia-Pasifik iaitu Australia, Negara Brunei Darussalam, Kanada, Chile, China, Hong Kong (China), Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Chinese Taipei, Thailand, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Sebelum ini, Korea pernah menjadi tuan rumah APEC pada tahun 2005, yang mana AELM telah diadakan di Busan.










