Meraikan ulang tahun keenam perkahwinan, pasangan popular, Rozita Che Wan dan Zain Saidin bakal bersanding sekali lagi di hadapan 100 tetamu di sebuah premis acara di Shah Alam, baru-baru ini.
Memberitahu media, Rozita atau mesra disapa Che Ta berkata, dia dan Zain akan bersanding di pelamin tajaan yang dihiasi indah.
“Pada mulanya, kami mahu melakukan sesi fotografi seperti yang lazim dibuat apabila menyambut ulang tahun perkahwinan. Tetapi kali ini, Abu iaitu jurugaya saya, beritahu ada pihak yang mahu menaja pelamin dan premis acara. Jadi, sudah alang-alang dapat tajaan, saya mahu anjurkan kenduri. Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaan bersanding sekali lagi,” katanya.
Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Disember 2013. Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan puteri diberi nama, Aaisyah Dhia Rana. Dalam perkahwinan lalu, Che Ta mempunyai dua anak lelaki iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezra.
Che Ta berkata, hanya kenalan rapat termasuk mereka yang pernah menghadiri majlis resepsinya, enam tahun lalu diundang pada majlis yang akan berlangsung di Royal Palace, Shah Alam. Mengulas mengenai mahligai dibina bersama Zain, Che Ta berkata: “Seperti pasangan suami isteri lain, pasti ada ujian yang datang menerjah. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.
“Namun, saya beruntung kerana Zain penyabar berbanding saya. Kalau saya naik angin, dia lebih ‘cool’. Rumah tangga memang kena ada tolak ansur,” katanya. – Agensi
