Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Seramai 698 orang pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) khususnya yang beragama Islam, terdiri daripada 245 lelaki dan 453 perempuan, telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran dan Doa Kesyukuran sempena Majlis Konvokesyen ke-35 UBD di Masjid Universiti, UBD, hari ini.
Daripada jumlah tersebut, seramai 116 orang mahasiswa dan 367 mahasiswi merupakan mereka yang telah menyertai Program Quranic Journey: Sesi Talaqqi Al-Quran.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, dekan-dekan, pengarah, pensyarah dan pegawai UBD.
Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan kemudian diikuti dengan bacaan Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Masad beramai-ramai yang diketuai oleh salah seorang peserta khatam, Awang Ahmad Termizi bin Ahmad Baihakie dan diselajurkan dengan bacaan takhtim.
Doa Khatam Al-Quran telah dibacakan oleh peserta khatam sebelum disusuli dengan Dikir Marhaban yang dibawakan oleh Kelab Dzikir, Nasyid dan Tausyeh UBD, serta penyampaian bunga telur dan sijil kepada para pembimbing dan peserta khatam oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran Majlis Khatam Al-Quran dan sempena Majlis Konvokesyen ke-35 UBD yang dibacakan oleh imam Masjid Universiti, UBD.
Menurut kenyataan yang diberikan, majlis berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Unit Kerohanian dan Khidmat Masyarakat dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa-mahasiswi UBD, sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan para bakal graduan.
Pada tahun lalu, program ini ditukar nama dan diserapkan ke dalam salah satu komponen Projek Quranic Journey iaitu Program Quranic Journey: Sesi Talaqqi Al Quran. Ia telah bermula sejak September 2022 dan disertai oleh bakal graduan 2023.
Semua peserta mengakhiri sesi Talaqqi Al Quran dan menghantar laporan pembacaan mereka melalui kanvas UBD pada hujung Mei 2023. Pembimbing mereka adalah daripada kalangan penyelaras program, pelajar dan alumni UBD serta pelajar-pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) secara sukarela.







