BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Seramai 35 bakal jemaah haji dari Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) hari ini diraikan pada Majlis Jiwa Murni di Surau Al-Huda, Pangkalan Tentera Laut Muara.
Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pemerintah ABDB dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Spry bin Haji Serudi @ Haji Seruji.
Majlis diisikan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Yasin dan Doa Selamat serta ceramah agama bertajuk ‘Perjalanan Dirindui’ yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Ugama dari Pusat Dakwah Islamiah, Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin serta penyampaian sumbangan derma dan cenderahati berupa pakej ubatan-ubatan daripada warga Kementerian Pertahanan dan ABDB kepada bakal-bakal jemaah haji.
