Bakal jadi bandar raya pintar pertama

KUCHING, 19 NOV – Kerajaan Negeri Sarawak bercadang melaksanakan projek perintis menjadikan Bandaraya Miri sebagai model Bandaraya Pintar untuk negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini cadangan itu sedang dalam proses perbincangan serta diperhalusi.

“Kita jadikan Miri sebagai model terlebih dahulu memandangkan buat masa kini Miri akan dilaksanakan dengan pengutipan sampah pintar dan maklumat pintar,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, pelaksanaan itu dijangka dilakukan dalam tempoh terdekat dan Kerajaan Negeri menetapkan tempoh sembilan bulan bagi meneliti keseluruhan kos pelaksanaan itu. – Bernama