BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Merujuk kepada peraturan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, semua bakal jemaah haji yang akan menunaikan fardu haji dimestikan memakai gelang tangan haji sebagai tanda pengenalan diri semasa berada di Tanah Suci.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji bagi musim haji tahun 1439H/2018M dikehendaki untuk menempah gelang tangan haji tersebut pada tarikh yang telah ditetapkan mengikuti giliran masing-masing di Syarikat White Emblem Gift and Trading di Unit 7, Tingkat 1, Bangunan Pengiran Hajah Raffiah, Gadong.
Semasa membuat tempahan berkenaan yang bermula 28 April ini, bakal jemaah haji mestilah membawa bersama pasport dan Buku Rekod Kesihatan dan Panduan Kesihatan Haji masing-masing.
Waktu perniagaan adalah dari 8:30 pagi hingga 4:30 petang setiap Isnin hingga Khamis, 8:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 2 petang hingga 4:30 petang bagi Jumaat dan 8:30 pagi hingga 12 tengah hari bagi Sabtu. Semasa bulan Ramadan, waktu perniagaan adalah dari 8:30 pagi hingga 3:30 petang bagi Isnin hingga Khamis, 8:30 pagi hingga 11:30 pagi bagi Jumaat dan 8:30 pagi hingga 12 tengah hari bagi Sabtu.