KUCHING, 31 Julai – Kira-kira seminggu yang lalu, bakal jemaah haji ini diserang angin ahmar, mengakibatkan kaki dan tangannya tidak dapat digerakkan selain pertuturannya turut terganggu.
“Saya diserang strok pada 23 sehingga 25 Julai, dengan kaki dan tangan tidak boleh bergerak. Pertuturan juga terjejas, saya tidak henti-henti berdoa supaya segera sembuh memandangkan akan bertolak ke Tanah Suci hari ini,” kata Wan Junaidi Wan Ajoli, 70, kepada Bernama.
Berasal dari Kampung Matang Batu 10, Kuching, pesara polis itu berkata dia kemudian mendapatkan rawatan tradisional di kampung tersebut.
“Seorang penduduk kampung mengurut saya, Alhamdulillah pada Rabu (26 Julai) kaki serta tangan sudah boleh digerakkan dan pertuturan kembali pulih,” katanya.
Wan Junaidi berkata dia dimaklumkan dapat menunaikan haji pada tahun ini sejak November 2016 selepas mula menyimpan di Tabung Haji sebaik bersara.

“Saya mula menyimpan bersama isteri Hamdian Taha, 68, pada 1996, mendaftar untuk ke Tanah Suci pada 2007, rasa sangat bersyukur dipilih dan tetap dapat pergi biarpun menerima dugaan apabila diserang strok seminggu sebelum bertolak,” kata bapa kepada enam cahaya mata itu.
Wan Junaidi merupakan sebahagian daripada 160 jemaah haji dari Kuching yang bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2:20 pagi tadi.
Kumpulan jemaah ini seterusnya berlepas dengan penerbangan terus dari KLIA ke Madinah pada 6:20 pagi dan dijangka tiba pada 10:30 pagi (waktu Arab Saudi).
Bagi Mohamad Pandi Keli, 62, dan isteri Rahma Taini, peluang menunaikan haji buat kali kedua amat bermakna, apatah lagi kali ini mereka disertai dua anak perempuan masing-masing berusia 34 dan 31 tahun selain abang ipar dan adik ipar serta isteri masing-masing.
Beliau berkata dia dan isteri sudah menunaikan fardu haji pada 2006 bersama seorang lagi anak perempuan, namun ketika itu dua anak perempuan yang bersama pada tahun ini tidak dapat ikut kerana masih belajar serta bekerja.
“Nama mereka ada naik beberapa tahun selepas itu tetapi tidak dapat pergi kerana tiada mahram. Alhamdulillah pada tahun ini saya dan isteri dipanggil lagi, kali ini bersama anak-anak, paling menarik ipar duai juga ada,” katanya. – Bernama