Oleh Nurdiyanah R. –
ARAB SAUDI, 12 JUN – Bakal jemaah haji negara akan berangkat ke Arafah pada 15 Jun ini, selepas menunaikan sembahyang Fardu Subuh kira-kira pukul 7 pagi.
Sehubungan itu, sebagai persiapan, Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) selaku syarikat pengendali pakej haji utama di Brunei telah mengadakan Taklimat Persiapan Keberangkatan ke Arafah – Mina dan Pulang ke Tanah Air bagi jemaah haji di bawah pakejnya, baru-barunya.
Diadakan di Plaza Level, Fairmont Jaipur Banquet Hall, Makkah Clock Royal Tower, taklimat disampaikan oleh Penolong Pengurus Am DSSB, Bahagian Haji dan Umrah, Pengiran Haji Ibarahim bin Pengiran Haji Bakar.
Antara yang dikongsi adalah beberapa persiapan dan peraturan menjelang hari wukuf termasuk proses memasuki perkhemahan Arafah.
Semasa berada di Padang Arafah, para Jemaah dinasihatkan untuk mengambil kesempatan tersebut dengan mempertingkatkan amal ibadah, memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir serta berselawat.


Taklimat berkenaan turut menekankan kepada semua bakal jemaah haji agar sentiasa mematuhi arahan dari semasa ke semasa bermula pada hari keberangkatan dengan mengikut jadual-jadual yang telah diatur, bagi kemudahan pergerakan para jemaah dinasihatkan untuk hanya membawa beg kecil sahaja untuk menyimpan keperluan barangan seperti sehelai ihram, Al-Quran, sejadah, tasbih, kitab-kitab dan ubat-ubatan.
Semasa hari wukuf di Arafah nanti, aktiviti-aktiviti telah disusun oleh pihak Bi’thah Haji Pentadbiran.
Pada hari berikutnya, jemaah akan bertolak ke Mina bagi menyelesaikan wajib haji seterusnya iaitu melontar tiga jamrah pada hari-hari Tashriq. Pakej DSSB akan bermabit di Mina sehingga 12 Zulhijjah atau lebih dikenali dengan Nafar Awal.
Sebelum berangkat balik ke tanah air, para jemaah haji DSSB yang mengikuti Pakej Zamrud akan berada di Mekah, manakala bagi jemaah haji yang mengikuti Pakej Delima dan Pakej Safira akan bermalam di Jeddah terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan kembali ke tanah air.
Dalam pada itu, jadual penerbangan kepulangan jemaah haji telah ditetapkan bermula 23 Jun bagi penerbangan pertama, 24 Jun bagi penerbangan kedua, 25 Jun bagi penerbangan ketiga dan penerbangan terakhir 26 Jun.
Semasa taklimat berkenaan, wakil Unit Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Haji Aziman bin Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub, selaku konsultan perubatan yang bertugas semasa musim haji tahun ini juga diberi kesempatan menyampaikan nasihat kepada para jemaah.
Majlis diakhiri dengan tazkirah yang disampaikan oleh Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim dan ucapan penutup serta nasihat daripada Pengarah Urusan Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), Haji Mahmud bin Haji Mohamed.

