Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Untuk mempersiapkan para bakal jemaah haji dari aspek kesihatan sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji bagi tahun 2024, taklimat kesihatan bagi bakal jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong.
Taklimat yang disampaikan bertajuk Taklimat Kesihatan Umum oleh Pemangku Pakar Bersekutu Unit Akut (AMU), Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Haji Mohammad Athaaillah bin Haji Abdullah, selaku ketua rombongan perubatan haji; dan Konsultan Unit Reumatologi, Hospital RIPAS, Dr Awang Haji Aziman bin POKMK Dato Paduka Seri Haji Yaakub, selaku timbalan ketua rombongan.
Ia kemudiannya diikuti dengan taklimat bertajuk Taklimat Kesihatan Wanita yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Hospital RIPAS, Dr Siti Nabilah binti Haji Ahmed, selaku Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji – Perubatan; dan Konsultan RIPAS, Dr Nurul Bahriah binti Haji Ali juga Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji – Perubatan.
Taklimat berkenaan juga memberikan penerangan mengenai peraturan-peraturan dan panduan-panduan kesihatan ditetapkan yang perlu diambil perhatian oleh para bakal jemaah haji sebelum bertolak dan semasa berada di Tanah Suci sehingga kembali ke tanah air.
Taklimat seterusnya menerangkan proses dan prosedur untuk perkhidmatan-perkhidmatan yang akan disediakan kepada bakal jemaah haji semasa di Tanah Suci nanti.
Di samping itu, turut diterangkan kepada para bakal jemaah haji negara ialah mengenai keperluan untuk mematuhi sebarang dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Selain itu, taklimat juga memberi peluang kepada para bakal jemaah haji negara untuk mendapatkan maklumat serta nasihat tentang penyakit atau permasalahan kesihatan yang sering dihidapi termasuk yang berkaitan dengan jemaah haji wanita ketika mengerjakan ibadat haji di Tanah Suci.
Taklimat kesihatan bagi para bakal jemaah haji merupakan satu aktiviti tahunan dianjurkan oleh Jabatan Urusan Haji dengan kerjasama Unit Perkhidmatan Perubatan Haji, Kementerian Kesihatan, bagi para bakal jemaah haji sebelum bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji.
Dengan adanya taklimat berkenaan, diharap para bakal jemaah haji akan dapat mengambil langkah awal untuk menjaga kesihatan masing-masing dengan mematuhi segala nasihat diberikan agar sentiasa dalam keadaan selesa dan sihat sejahtera semasa melaksanakan ibadat haji.
Menurut kenyataan Kementerian Hal Ehwal Ugama, bagi musim haji tahun 1445H/2024M, seramai 20 orang anggota perubatan Negara Brunei Darussalam terdiri daripada enam orang doktor dan 14 orang jururawat telah dilantik sebagai Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji (Perubatan) yang akan mengiringi bakal jemaah haji negara.