Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Bakal jemaah haji UBD terima sumbangan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Seramai 13 kakitangan akademik dan pentadbiran termasuk lima kakitangan antarabangsa yang akan menunaikan ibadah haji bagi tahun 2024 telah diraikan hari ini dalam majlis khas yang berlangsung di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Majlis tersebut diadakan adalah untuk mencerminkan komitmen UBD terhadap kesejahteraan kakitangan dan pertumbuhan rohani mereka.

    Hadir di majlis berkenaan dan seterusnya menyampaikan sumbangan kepada bakal-bakal jemaah haji UBD ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Majlis itu turut diselajurkan dengan program Kembara Al-Quran yang merupakan aktiviti mingguan universiti berkenaan.

    Program tersebut yang sedang dijalankan, dan telah dilancarkan pada Januari 2023, diadakan setiap pagi Jumaat yang diisi dengan sesi latihan tilawah Al-Quran bagi para pelajar, dan bacaan Surah Yasin. Di samping itu, prorgram berkenaan turut dilengkapkan dengan sesi Tadabbur Al-Quran oleh penceramah terkemuka yang menyampaikan makna, tujuan dan ketetapan menerusi surah-surah yang terdapat dalam Al-Quran.

    Sesi tersebut bukan sahaja dibukakan kepada ahli UBD tetapi juga disiarkan secara langsung di akaun Instagram rasmi universiti @ubdbuzz untuk manfaat orang ramai.

    Program tersebut antara lain bertujuan untuk memupuk penghayatan yang lebih mendalam terhadap Al-Quran dalam kalangan kakitangan dan pelajar UBD.

    Perkara ini selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah Negara Zikir yang menekankan kepentingan mengingati dan mengagungkan Allah SWT.

    Selain itu, progam berkenaan memainkan peranan penting dalam membentuk bakal graduan UBD, selain menggalakkan pengajian dan muhasabah Al-Quran.

    UBD berharap supaya akan dapat memperkasakan graduannya untuk menjalani kehidupan yang bermatlamat dan diberkati dengan berpandukan nilai Melayu Islam Beraja (MIB) dan moto universiti, Ke Arah Kecemerlangan Insan.

    ATAS & BAWAH: Antara bakal jemaah haji yang menerima sumbangan pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...