Oleh Nurdiyanah R. –
ARAB SAUDI, 2 JUN – Bagi memastikan para bakal jemaah haji mengerjakan ibadah tawaf dan saie berjalan dengan teratur, salah satu aktiviti harian yang dilaksanakan oleh Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) bagi mereka semasa berada di Tanah Suci ialah sesi ulang kaji manasik umrah yang merangkumi hukum-hakam dan pantang larang semasa berihram.
Ibadah umrah merupakan pengisian awal manasik haji tamatuk di mana penerapan hukum-hakam dan pantang larang semasa berihram merupakan elemen penting dalam sesi ulang kaji berkenaan.
Sesi berkenaan telah disampaikan oleh Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Rahman, Haji Mohd Zarif Mishbari dan Awang Ibrahim bin Zamri khusus bagi para bakal jemaah haji lelaki.
Manakala itu, bagi bakal jemaah haji perempuan yang diadakan secara berasingan telah disampaikan oleh tiga orang pegawai agama terdiri daripada Hajah Rusita binti Haji Yahya, Hajah Norsinah binti Haji Hussin dan Hajah Zaliha binti Haji Ibrahim yang juga selaku pembimbing yang dilantik oleh DSSB.
Dalam sesi ulang kaji tersebut, para bakal jemaah haji telah mengikuti sesi soal jawab dan praktikal cara-cara memakai kain ihram khusus bagi bakal jemaah haji lelaki.
Misi DSSB adalah untuk memberikan kemudahan kepada setiap bakal jemaah haji serta kesempurnaan peribadatan manasik haji mereka termasuklah dengan memberikan pengetahuan dan pemahaman ibadah haji mahupun secara teori dan praktikal.
