Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bakal murid Pra 2018 mula orientasi

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 6 Nov – Lebih 30 orang murid Pra Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara (PSN) Pengiran Mohd Yusof Lorong Tiga Seria bagi Tahun 2018 telah menyertai Orientasi Murid-murid Pra Sekolah tahun 2018 yang berlangsung di dewan serba guna sekolah tersebut di sini, hari ini.

    Program orientasi yang akan diadakan selama tiga hari bermula hari ini itu juga akan diadakan di bilik-bilik darjah sekolah tersebut pada hari kedua dan ketiga, yang dikendalikan oleh Bahagian Pentadbiran sekolah tersebut bersama guru-guru pra.

    Guru Besar sekolah, Dayang Hayati binti Haji Ismail memberitahu, orientasi tersebut diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid pra untuk sesi pembelajaran mereka di alam baru persekolahan tahun depan.

    Di samping itu, katanya, ia juga bagi membiasakan murid-murid berkenaan mengenai sistem persekolahan, selain bagi memupuk semangat setiakawan dan kerjasama dalam kalangan murid-murid, guru-guru pra dan ibu bapa serta penjaga murid pra khasnya.

    Penerangan mengenai pra Inggeris oleh Allison Praeger, pada Program Orientasi Murid Pra Sekolah.
    Murid-murid Pra Sekolah 2018 diberikan latihan awal supaya mengenali rakan-rakan sekolah pada Program Orientasi diadakan di Sekolah Rendah PSN Pengiran Mohd Yusof.
    Penerangan daripada guru Kelas Pra ‘B’, Awang Shamsul Rizal bin Haji Salleh.

    “Ianya juga dihasratkan bagi meningkatkan kerjasama dan menjalinkan hubungan silaturahim antara pihak sekolah dengan ibu bapa serta penjaga murid pra sekolah,” katanya.

    Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh salah seorang guru, Awang Shamsul Rizal bin Haji Salleh diikuti dengan penerangan mengenai Akta Pendidikan Wajib oleh Dayang Hayati.

    Diikuti kemudiannya penerangan daripada Guru Kelas Pra ‘A’, Dayang Aneesa Batrisyia binti Abdullah Chin dan Guru Kelas Pra ‘B’, Awang Shamsul Rizal, penerangan mengenai pra Inggeris oleh Allison Praeger dan diakhiri dengan sesi soal jawab bersama ibu bapa dan penjaga murid.

    Para murid Pra sekolah tersebut dijangka akan memulakan persekolahan mereka di sekolah tersebut pada 8 Januari tahun depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda