BORDEAUX, 28 MAC – Pendakwa raya Perancis hari ini menuntut hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum 22 tahun terhadap seorang lelaki yang membakar isterinya hidup-hidup dalam insiden tragis pada 2021.
Lelaki berketurunan Perancis-Algeria itu, Mounir Boutaa, 48, didakwa mengintip isterinya, Chahinez Daoud, 31, selepas mereka berpisah dengan membeli sebuah van yang diletakkan berhampiran kediaman wanita itu di Bordeaux, barat daya Perancis, untuk memantau pergerakannya.
Pada 4 Mei 2021, tertuduh menembak kedua-dua kaki isterinya sebelum menyimbah petrol dan membakarnya hidup-hidup.
“Di mata tertuduh, Chahinez tidak sepatutnya wujud lagi, bukan untuk dirinya mahupun orang lain. Dia tidak sepatutnya memiliki wajah atau tubuh, sebaliknya hanya menjadi debu,” kata pendakwa raya Cecile Kauffman di mahkamah Bordeaux.
Menurut beberapa pakar, tertuduh didapati mempunyai ciri-ciri paranoid dan narsistik, yang mungkin menjejaskan akal pertimbangannya. Selain itu, tertuduh juga dilucutkan hak penjagaan terhadap anak-anaknya. – AFP
