Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bakar kedai telefon pintar, marah cinta ditolak

    IPOH, 16 APRIL – Berang cintanya ditolak, seorang lelaki tergamak membakar sebuah kedai menjual telefon pintar sehingga kerugian kira-kira RM100,000 di Langkap dekat Teluk Intanm Perak petang semalam.

    Ketua Polis Hilir Perak, ACP Ahmad Adnan Basri berkata anggota Balai Polis Langkap menerima laporan kejadian pada 3:19 petang daripada seorang wanita berusia 46 tahun yang bekerja di kedai telefon berkenaan.

    Beliau berkata dalam laporannya, wanita berkenaan menyatakan lelaki berusia 54 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan itu datang ke premis itu pada 2:30 petang lalu mengamuk sehingga mencederakan wanita berkenaan serta melemparkan kata-kata berunsur lucah.

    Menurut Ahmad Adnan, lelaki itu turut mengancam keselamatan wanita itu dengan mengugut akan membakar wanita berkenaan dan premis itu.

    “Disebabkan terlalu takut, wanita berkenaan bergegas ke Balai Polis Langkap untuk membuat laporan. Semasa laporan dibuat, kedai tempat wanita itu bekerja yang juga milik adiknya telah dilaporkan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahmad Adnan berkata kebakaran di premis itu berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dan kerugian akibat kejadian dianggar lebih kurang RM100,000.

    Beliau berkata menurut saksi di tempat kejadian, lelaki itu dilihat menyimbah petrol lalu membakar kedai berkenaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda